Beri 'teaser' di KLIA2, skuad TRW bakal diperkuat import baharu ketika berdepan Negeri Sembilan


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Masih terdapat pelbagai isu perlu diperbaiki pihak kejurulatihan skuad TRW untuk baki musim 2023. — Facebook/TRW Kelantan FC

MESKIPUN sudah berbelanja mewah sepanjang jendela perpindahan kedua Liga Super, Kelantan FC terus bergelut untuk memberi impak di atas padang.

Kekalahan besar yang dialami dalam aksi pembukaan Piala Malaysia kepada Johor Darul Takzim (JDT) membuktikan masih terdapat penambahbaikan perlu dibuat.

Antara aspek yang semestinya wajar diberikan perhatian adalah dengan mengukuhkan lagi benteng pertahanan bagi mengelak pihak lawan terlalu mudah membolosi gawang gol mereka.

Dalam perlawanan berkenaan, lima gol yang dijaringkan skuad Harimau Selatan mengesahkan pandangan bahawa sesuatu perlu dilakukan ketua jurulatih, Alfredo Vera.

Bagaimanapun, melihat kepada senarai pemain baharu yang dibawa masuk, pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu hanya membawa masuk pemain kelahiran Sierra Leone, Alie Sesay di bahagian pertahanan.

Kemasukan seorang bek tengah dijangka tidak akan mengubah catatan buruk skuad The Red Warriors (TRW) yang sudah dibolosi sebanyak 68 kali dalam 18 aksi Liga Super.

Jadi, bagi menyelesaikan hal itu, pihak kejurulatihan perlu melihat dari sudut berbeza untuk memastikan benteng pertahanan mereka tidak terlalu mudah ditembusi pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-08-06 at 15.00.38

Ahmed Magdy (tengah) dibawa masuk untuk memperkukuhkan benteng pertahanan skuad TRW. Instagram/ahmedmagdyofficial7

Salah satu solusi terbaik adalah dengan meletakkan seorang pemain tengah bertahan yang berkualiti bagi mengesan ancaman ketika kubu mereka diserang.

Berdasarkan skuad mereka ketika ini, tugasan tersebut boleh diletakkan di bahu rekrut baharu kelab, Ahmed Magdy yang sebelum ini beraksi di Liga Perdana Mesir bersama Petrojet.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman meluas di Eropah mahupun Asia, pemain berusia 34 tahun itu mempunyai ciri-ciri seorang jeneral tengah berkualiti melihat kepada tahun-tahun permainannya serta struktur fizikalnya.

Pengumuman mengenai kehadirannya sebelum ini mencetuskan topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong skuad TRW memandangkan dia mampu beraksi di posisi penting itu.

Bagaimanapun, ketika pertembungan dengan JDT tempoh hari, Magdy yang masih belum tiba ke tanah air sejak pengumumannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong skuad TRW.

WhatsApp Image 2023-08-06 at 14.18.58

Tangkap layar daripada hantaran Magdy di Instagram peribadinya pada Ahad.

Berdasarkan pemerhatian di media sosial, mereka berasakan terdapat pertikaian mengenai kontrak antara pemain dan kelab sehingga menyebabkannya tidak dapat didaftarkan untuk baki musim 2023.

Namun, baru-baru ini, senyuman kembali terukir di wajah penyokong Kelantan FC apabila pemain tersebut difahamkan sudah semakin hampir untuk menyarung jersi pasukan.

Menerusi satu hantaran di InstaStory peribadinya, Magdy kelihatan menangkap foto memaparkan bendera Jalur Gemilang yang seperti berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Walaupun tidak disertakan sebarang kapsyen atau mesej, ia sudah cukup menggembirakan hati pengikut setia TRW yang terus berharap keajaiban dapat disaksikan sebelum tirai Liga Super 2023 dilabuhkan.

Selain Magdy, Kelantan FC turut membawa masuk beberapa pemain baharu sepanjang jendela perpindahan yang lalu, termasuk bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening.

Kesemua mereka masih belum diberikan penampilan sulung bersama skuad TRW memandangkan kehadiran mereka hanya diumumkan beberapa jam sebelum tempoh perpindahan ditutup.

Berdasarkan peraturan, Magdy mampu diturunkan pihak kejurulatihan untuk perlawanan akan datang sekiranya proses pendaftaran berjalan lancar.

Kelantan FC bakal berdepan Negeri Sembilan FC pada Rabu di laman sendiri yang mana diharapkan mampu menjadi titik perubahan buat skuad TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram