[VIDEO] Macam deja vu, gol Khala'If Naskam setajam jaringan Ben 10, tewaskan Farizal Marlias 8 tahun lalu


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Kelantan FC berjaya mendapatkan gol cenderahati pada pertemuan menentang JDT di Piala Malaysia pada Jumaat. — Facebook/KelantanFC

PASUKAN bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) menepati ramalan apabila cemerlang menewaskan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan.

Pada aksi saingan Piala Malaysia di kandang Kijang Merah, skuad Harimau Selatan membelasah Kelantan FC dengan keputusan jaringan 5-1.

Malah, 'ngauman' Harimau Selatan di bumi Kelantan itu sentiasa bergema apabila meledak lima gol dalam separuh masa pertama dengan mudah.

Bagaimanapun skuad The Red Warrior (TRW) melakar kejutan pada saat akhir apabila menerusi pemain gantian, Khala'if Naskam berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias untuk gol tunggal Kelantan sekali gus menceriakan penyokong The Red Warriors.

Walaupun ia dianggap sebagai 'kemenangan kecil' buat kelab milik Norizam Tukiman, namun keupayaan Kelantan menembusi gawang JDT mencuri perhatian sebilangan penyokong yang menyifatkan ia bukan satu kebetulan ataupun nasib.

Malah, ada juga yang menyifatkan jaringan Khala'if itu sama seperti jaringan Nor Farhan Muhammad ataupun lebih dikenali sebagai Ben 10 yang menewaskan penjaga gol sama lapan tahun lalu.

Nor Farhan yang amat terkenal dengan kebolehan untuk melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti mencipta gol cantik itu ketika berdepan skuad Harimau Selatan ketika aksi Piala Malaysia 2015.

Selepas mendahului 2-1, pemain itu yang menerima bola pada minit ke-52 permainan tidak teragak-agak untuk melakukan percubaan dengan dia tidak dikawal rapi pemain pertahanan lawan.

Jaringan itu memberikan kelebihan dua gol buat skuad TRW yang menggamatkan suasana di Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang dibanjiri penyokong.

Bukan itu sahaja, cara jaringan kedua-dua pemain Kelantan yang meledakkan gol itu juga sama iaitu bermula dari tengah kepada sayap, diakhiri dengan sepakan deras ke pintu gol.

Aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 Ogos 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram