Lebih meriah di padang latihan, skuad TRW dalam 'mood' terbaik berdepan NSFC


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Sekitar sesi latihan barisan pemain Kelantan FC untuk menghadapi saingan Liga Super menentang skuad Jang. —Instagram/trwkelantanfc

MASIH terdapat pelbagai isu yang perlu diberikan perhatian buat Kelantan FC memandangkan mereka mengalami kekalahan besar kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi pembukaan Piala Malaysia pada Jumaat lalu.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan The Red Warriors (TRW) tunduk kepada pendahulu liga dengan keputusan 1-5.

Namun, pasukan kendalian Alfredo Vera dilihat tetap berpuas hati apabila memperoleh jaringan sagu hati pada minit ke-86 menerusi Khala’if Naskam menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Bagaimanapun, menjelang perlawanan pusingan ke-19 Liga Super 2023, Kelantan sepertinya mahu melupakan kekalahan tersebut dan kini dilihat dalam mood terbaik mempersiapkan barisan terbaik pasukan tersebut dengan kemasukan beberapa import baharu.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 10.55.55

Antara pemain TRW yang berada dalam sesi latihan. —Instagram/trwkelantanfc

Pada jendela perpindahan kedua, Kelantan mengumumkan kehadiran empat pemain import baharu iaitu Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Alie Sesay dan Ahmed Magdy untuk memperkuatkan lagi pasukan tersebut dalam menghadapi baki saingan musim ini.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi @trwkelantanfc, suasana padang latihan TRW dilihat meriah selepas kehadiran pemain-pemain import tersebut.

Kelibat keempat-empat import baharu itu di atas padang dijangka mampu merobek benteng pertahanan sekali gus mempertajamkan jentera serangan.

Dengan kehadiran import tersebut, penyokong berharap agar TRW dapat mengubah kedudukan semasa liga dan membawa pulang tiga mata penuh selain dapat keluar daripada zon penyingkiran, sekali gus mengelak terperosok ke Liga M3.

Kelantan FC kini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengutip lima mata selepas mencatatkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan 15 kekalahan dalam 18 perlawanan.

Kelantan akan melayan kunjungan daripada Negeri Sembilan FC pada 9 Ogos dalam saingan Liga Super 2023 sebelum bertemu JDT untuk aksi timbal balik Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram