Tujuh tahun lalu TMJ pernah bentang 7 'poin' utama demi kebaikan bola sepak Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

TMJ antara ikon bola sepak pembangunan moden dalam negara ini. — Facebook/JDT

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ merupakan ikon pembangunan bola sepak moden dalam negara ini.

Sudah hampir 10 tahun Tunku Ismail mentadbir serta merevolusikan bola sepak Johor dengan membuktikan beliau menepati janji mengembalikan Harimau Selatan menjadi kuasa besar dalam Liga Malaysia.

Tidak salah untuk mengatakan JDT bukan sahaja dikenali di Asia Tenggara malah sudah meluaskan empayar Harimau Selatan di seluruh Asia dan Eropah apabila berkolaborasi dengan beberapa kelab gergasi dunia.

Tanpa kehadiran TMJ hala tuju dan kualiti bola sepak Malaysia mungkin masih ditakuk lama apabila beberapa kelab Liga Malaysia masih menggunakan kaedah zaman 90-an apabila tidak mempunyai pusat latihan serba lengkap buat pasukan.

Buat pengetahuan anda menurut laporan The Star, tujuh tahun lalu, Tunku Ismail pernah membentangkan idea menarik untuk menstrukturkan semula pembangunan bola sepak di negara ini:

1. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya datang daripada golongan keluarga diraja, dan juga mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian. Beliau juga mestilah seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab-kelab yang mengambil bahagian.

2. Pengadil mesti mempunyai sebuah persatuan pengadil yang bebas dan dibiayai oleh kerajaan supaya mereka juga akan dibayar gaji seperti persatuan pengadil di luar negara. Ini adalah untuk menghapuskan sebarang bentuk pilih kasih dan mengelakkan berlakunya campur tangan secara halus daripada pegawai-pegawai tertinggi FAM yang akan mempengaruhi mereka.

3. Presiden dan ahli exco yang sedia ada mesti digugurkan. Ahli-ahli exco baharu pula perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara. Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang-orang yang berkebolehan.

4. Ketelusan FAM dalam perancangan mereka amat diperlukan dan penyokong mesti dibenarkan sekali-sekala untuk memberi persoalan dan pertanyaan kepada FAM. Penyokong berhak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam FAM dan segala matlamat serta hala tuju FAM untuk masa-masa akan datang.

5. Untuk pasukan kebangsaan, kita perlu menggunakan khidmat jurulatih luar. Jurulatih dengan latar belakang, pencapaian dan rekod prestasi yang baik. Beliau juga perlu mempunyai pengalaman sebagai jurulatih kelab atau pasukan kebangsaan. Jurulatih tersebut mesti dibenarkan untuk membawa pasukannya sendiri dan melaksanakan apa jua yang telah dirancangkannya. Paling penting, beliau mesti diberikan masa untuk membuat perubahan. FAM tidak begitu berkembang sejak 30 tahun yang lalu dan saya percaya kita perlu berikan masa secukupnya dan ruang yang diperlukan oleh jurulatih baru tersebut.

6. Mesyuarat exco perlu diadakan dan dilakukan secara penggiliran di setiap negeri dalam negara ini.

7. Semua pasukan yang bertanding perlu mempunyai program akar umbi, stadium dan pusat latihan sendiri yang akan diusahakan oleh kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram