[VIDEO] Khala'If Naskam tak percaya sumbat gol lawan JDT, sorakan Zamsaham tanda ikhlas jaga TRW?


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Detik-detik Khala'If menjaringkan gol dan diraikan bersama Norizam Tukiman.

JOHOR Darul Takzim (JDT) membuktikan status mereka sebagai raja Liga Malaysia apabila mudah menewaskan Kelantan FC 5-1 pada aksi perlawanan pertama saingan ke-16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Jumaat.

JDT yang menurunkan sebahagian besar barisan pemain simpanan berjaya menjaringkan gol menerusi Bergson da Silva, Heberty Fernandes (dua gol), Shahrul Saad dan Nazmi Faiz.

Meskipun tewas dengan jaringan besar, penyokong Kelantan boleh mendabik dada apabila pemain muda, Khala'If Naskam menjaringkan gol cantik dengan melakukan rembatan di luar kawasan kotak penalti.

Gol yang dijaringkan pemain muda Kelantan itu gagal diselamatkan oleh Farizal Marlias yang baru diturunkan oleh Esteban Solari pertama kali musim ini dalam saingan Piala Malaysia.

Khala'If

Khala'If menjaringkan gol cantik ketika bertemu JDT pada Sabtu.

Menerusi perkongsian temu bual Astro Arena bersama Khala'If, dia bersyukur kerana berjaya membolosi gawang gol JDT dan sempat berkongsi perkara yang difikirkan sebelum melakukan rembatan itu.

"Saya nak mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana sentiasa datang ke stadium.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada jurulatih yang memberikan saya peluang dan saya gunakan peluang ini sebaik mungkin.

"Semasa bola berada pada saya, saya fikir dalam kepala saya nak terus lakukan sepakan dan tak sangka pula bola itu boleh masuk," katanya menerusi rakaman Astro Arena.

Jaringan cantik dilakukan pemain muda itu menggembirakan kesemua penyokong yang hadir ke stadium.

Apa yang lebih menarik bukan sahaja penyokong ikut menyorak jaringan Khala'If itu tetapi reaksi daripada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukim jelas mencuri perhatian orang ramai.

Selepas jaringan yang dilakukan Khala'If, Norizam meraikannya dengan membuka topi serta pergi ke arah penyokong untuk menyambut gol luar biasa pemain itu bersama-sama.

Tindakannya itu seolah-olah memberi gambaran Norizam atau Zamsaham bersemangat dan ikhlas untuk membawa kelab itu mengharungi baki musim 2023 selepas sebelum ini terpalit pelbagai kontroversi termasuk isu tunggakan gaji dan kejurulatihan.

Dengan jaringan satu gol Kelantan menentang JDT tersebut, ia ibarat motivasi dan tonik buat The Red Warriors (TRW) untuk berdepan dengan akis seterusnya menetang Negeri Sembilan FC di laman sendiri.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama JDT dibolosi Kelantan apabila TRW pernah menewaskan Ahmad Syihan Hazmi apabila gagal menyelamatkan sepakan penalti pemain import Kelantan FC, Leonardo Rolon dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 9 Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram