KELAB gergasi England, Manchester United semakin hampir untuk menandatangani penyerang Atlanta BC, Rasmus Hojlund pada jendela perpindahan musim panas ini.
Laporan terbaharu daripada wartawan, Alfredo Pedulla memaklumkan bahawa skuad Red Devils selangkah untuk mendapatkan penyerang Denmark itu dengan perjanjian dijangka akan dimuktamadkan pada Sabtu.
Pedulla juga merupakan wartawan yang melaporkan khabar angin perpindahan Andre Onana dan kini bekas penjaga gol Inter Milan itu sudah sah menyarung jersi Man United.
Dengan keadaan penyerang dari Perancis, Anthony Martial yang sering bergelut dengan masalah kecederaan menyebabkan United ingin mendapatkan khidmat Hojlund.
Menentang Real Madrid pada Rabu di Texas, Amerika Syarikat, serangan skuad kendalian Ten Hag kelihatan terlalu tumpul dan boleh menjadi ancaman pada United untuk memburu kejuaraan pada musim ini.
Dalam kemas kini terbarunya, Pedulla mendedahkan Red Devils semakin hampir untuk menandatangani Hojlund yang dipercaya sebagai penyerang 'sempurna' untuk Ten Hag.
Hojlund dikatakan sebagai 'kembar' Haaland dari segi bentuk fizikal dan kepantasannya, walaupun pada masa ini dia tidak mempunyai penyudah klinikal yang konsisten seperti pemain Manchester City itu.
Pedulla melaporkan bahawa kedua-dua pihak berhasrat untuk memuktamadkan perjanjian pada Sabtu supaya penyerang itu tidak akan beraksi dalam perlawanan persahabatan pramusim Atalanta menentang Bournemouth.
Pada masa ini, bidaan United untuk Hojlund dikatakan sebagai bayaran tetap sebanyak £53.3 juta (RM311.7 juta) ditambah £4.3 juta (RM25.2 juta) dalam bentuk bonus.
Manakala Atalanta menahan tawaran dalam lingkungan sehingga RM351.6 juta dan ditambah £4.3 juta sebagai tambahan.
Pedulla mendakwa, kedua-dua pihak boleh mencapai kata sepakat jika Red Devils meningkatkan tawaran bayaran tetap yang mencecah RM389 juta termasuk bayaran tambahan.
Pada masa sama, Pedulla memaklumkan bahawa Hojlund kini sudah berada di England dan bersedia untuk beraksi pada saingan Liga Perdana Inggeris. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
