PENJAGA gol baharu Manchester United, Andre Onana menjadi bualan penyokong selepas aksinya menjerit ke arah Harry Maguire ketika kelab Liga Inggeris itu tewas 2-3 di tangan Borussia Dortmund pada perlawanan terakhir pramusim di Amerika Syarikat.
Onana dilihat memarahi Maguire kerana pemain pertahanan itu hampir membuat kesilapan yang boleh membenarkan pihak lawan menjaringkan gol.
Dalam perlawanan tersebut, Maguire melakukan kesilapan kerana dilihat menghantar bola yang agak perlahan ke arah Christian Eriksen.
Rakaman memaparkan Onana berang dengan Maguire.
Rentetan kejadian itu, Onana dilihat terus berlari ke arah Maguire dan memarahinya atas kesilapan tersebut.
Mengulas tentang kejadian itu, Onana berkata, tidak timbul perselisihan antara dia dan Maguire.
"Saya mahu rakan sepasukan dapat bermain dengan baik dan memberi kepercayaan kepada saya.
"Jika mereka bermain dengan baik, saya juga mahu memberikan yang terbaik kepada mereka.
"Saya berbangga dapat beraksi bersama pasukan ini terutamanya bahagian pertahanan.
"Beraksi bersama (Lisandro) dan Maguire adalah satu peluang yang baik kerana mereka merupakan antara tonggak penting pasukan ini," katanya.
Meskipun rakaman video tersebut tersebar di media sosial, Onana tampil mengatakan bahawa hubungan dia dengan Maguire tidak terjejas.
"Dia adalah ketua pasukan dan pemain yang baik.
"Maguire sangat berpengalaman dalam bola sepak dan saya perlu banyak belajar darinya, hubungan kami tetap baik," jelasnya.
Manchester United mengakhiri jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat dengan kekecewaan selepas tewas di tangan Wrexham, Real Madrid dan Borussia Dortmund. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram