[VIDEO] Mat Yo buktikan lagi 'power' dari De Paula, cipta gol persis van Persie


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Tangkap layar tandukan cantik daripada Norshahrul. — Instagram/AFL

SUDAH agak lama penyokong bola sepak tanah air tidak mendengar nama penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha sejak dia tidak lagi bergelar sebagai pemain dalam saingan Liga Super musim ini.

Selain aktif sebagai pundit untuk sebuah stesen televisyen, pemain berusia 36 tahun yang lebih dikenali sebagai Mat Yo juga memberikan khidmatnya bersama pasukan Liga M3, Harini FT.

Baru-baru ini nama Norshahrul mencuri tumpuan penyokong bola sepak domestik apabila golnya membantu pasukan tersebut menang 3-1 ke atas pesaing mereka iaitu Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Perlawanan itu dianggap sengit susulan kedua-dua pasukan mempertaruhkan bekas penyerang prolifik Liga Super iaitu Guilherme de Paula yang mewakili Melaka FC dan Mat Yo sebagai tunjang utama Harini FT.

Namun keputusan akhir perlawanan memihak kepada Harinit FT apabila jaringan dari Sunil Chandran, N. Thanabalan dan Norshahrul sudah cukup mengesahkan tiga mata milik pasukan tersebut.

Daripada tiga gol tersebut, tandukan cantik daripada bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) pada babak kecederaan itu menarik perhatian kerana dikatakan persis gol penyerang legenda Manchester United, Robin Van Persie pada Piala Dunia 2014 ketika Belanda menentang Sepanyol.

Norshahrul dilihat menanduk bola dengan melompat dari tepi kawasan kotak penatli dan Van Persie pernah melakukan gaya sama sehingga dicalonkan sebagai finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun tersebut.

Bukan itu sahaja, tandukan dari bekas pemain kebangsaan itu juga membuktikan bahawa taring Norshahrul lagi berbisa daripada bintang naturarisasi, De Paula.

Masakan tidak, pada perlawanan tersebut bekas pemain Selangor itu tidak mencetak sebarang gol dan jaringan gol saguhati buat Melaka hadir daripada sumbangan Hafiz Johar.

Tiga mata berharga itu meletakkan pasukan berpangkalan di Selangor itu di tempat kedua, manakala Melaka FC menghuni kedudukan ke-11 dalam saingan MBSB Bank Championship. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram