Pernah juarai Piala Malaysia 2013, 'keeper' Selangor, bintang JDT antara '1st eleven' Tok Gajah


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Skuad Sri Pahang pernah muncul juara Piala Malaysia 2013.

SEPULUH tahun lalu, sejarah tercipta di Stadium Shah Alam, Selangor selepas Pahang mengakhiri badi 21 tahun kejuaraan Piala Malaysia, melalui tandukan Matias Conti hasil hantaran lintang Azammuddin Akil daripada sebelah kanan.

Skuad yang dibentuk oleh Dollah Salleh (kini berpangkat Datuk) daripada gabungan pemain berpengalaman dan barisan pemain Pahang yang baru naik daripada Liga Perdana 2012 itu berjaya menafikan kejuaraan berganda buat Kelantan.

Namun begitu, selepas satu dekad, di manakah skuad itu sekarang?

Berikut Majoriti menyenaraikan kesebelasan utama skuad ketika itu.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.41.15

Khairul Azhan Khalid.

1) Khairul Azhan Khalid

Penjaga gol negara, Khairul Azhan Khalid atau lebih dikenali sebagai Yan, kekal di Darul Makmur sehingga 2015, sempat merasai sekali lagi kejuaraan Piala Malaysia 2014, dan namanya terus melonjak naik sehingga mendapat panggilan skuad kebangsaan.

Pada 2016, Yan berhijrah ke Selangor dan kekal bermain bersama pasukan itu sehingga kini.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.43.46

Jalaluddin Jaafar.

2) Jalaluddin Jaafar (Kapten)

Kapten marvel yang berjaya menjulang trofi Piala Malaysia pada usia 38 tahun, menjadikannya kapten tertua Pahang yang berjaya meraikannya.

Jalaluddin kekal bermain sehingga musim 2015, sebelum menyerahkan lilitan kapten kepada Matthew Davies pada 2016, dan menjadi sebahagian barisan kejurulatihan Pahang sehingga kini.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.45.22

Damion Stewart.

3) Damion Stewart

Digelar kereta kebal Pahang yang dibawa masuk pada pertengahan musim 2013, seterusnya menambah baik barisan pertahanan Pahang.

Stewart kekal bersama Pahang sehingga 2015, membawa pulang dua pingat kejuaraan Piala Malaysia, satu Piala FA dan satu Piala Sultan Ahmad Shah ke kampung halamannya, Kingston, Jamaica pada 2016.

Pernah beraksi bersama Harbour View di sana, sebelum kembali ke Malaysia bersama Perlis, dan kini sudah bersara dan menetap di Sandy Park, Kingston, Jamaica.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.46.16

Amirulhadi Zainal.

4) Amirulhadi Zainal

Kehadiran Amirulhadi Zainal atau mesra dipanggil Yol sangat membantu jentera tengah Pahang ketika itu kerana berjaya mendapatkan kembali prestasi terbaiknya selepas teruk dikritik ketika di Selangor.

Namun begitu, selepas berjaya menjulang trofi Piala Malaysia 2013, Yol pantas disambar Johor Darul Takzim (JDT) pada 2014, yang menyaksikan dia tewas kepada Pahang dalam Final Piala Malaysia pada tahun itu.

Yol kekal di JDT sehingga bersara, dan kini menjadi sebahagian barisan kejurulatihan skuad pelapis JDT.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.48.04

R Surendran.

5) R Surendran

Pemain kelahiran Bera ini menyertai Pahang ketika zaman kejatuhan, pada tahun 2008, kekal setia bersama jatuh bangun, daripada Liga Super, ke Liga Perdana, dan bangkit kembali sehingga kembali menjulang trofi kejuaraan.

Suren kemudiannya berpindah ke Melaka pada 2016 dan kemudiannya ke PKNS dan PDRM.

Kini pada usia 36 tahun, Suren menetap di Bera dan beraksi bersama pasukan Bandar Bera 32 dalam saingan Liga M5 Amatur Pahang.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.48.49

Matias Conti.

6) Matias Conti

Matias Conti hadir ke Darul Makmur bersama Damion Stewart pada pertengahan musim, seorang penyerang yang cukup klinikal, kerana Pahang ketika itu dilengkapi pemain sayap kiri dan kanan yang sedang berada di kemuncak karier.

Matias yang menjaringkan gol tunggal pada malam yang cukup gemilang itu, turut terpaksa angkat kaki akibat projek DNA Pahang FC pada 2016, dan berhijrah ke Universidad (Chile), Estudientes (Argentina), kembali ke Asean bersama kelab Borneo Samarinda di Indonesia, sebelum pulang semula ke Argentina.

Kini pada usia 33 tahun, Matias dilaporkan sudah bersara.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.44.01

Azammuddin Akil.

7) Azammuddin Akil

Azammuddin Akil merupakan legenda Pahang dalam pembikinan ketika itu, pemain sayap menyerang yang cukup lincah dan menjadi buruan kelab-kelab di Malaysia.

Azamuddin atau mesra dengan panggilan Alex kekal di Pahang sehingga musim 2015, sebelum berhijrah ke 3 pasukan gergasi Liga Super bermula 2016, bersama Selangor, JDT dan Kedah.

Alex pulang ke negeri kelahiran pada usia 38 tahun, dan kini beraksi bersama Eryna Tomyam dalam saingan Liga M5 Amatur Pahang, dan juga YPM dalam saingan Liga M4 Al-Ikhsan Cup.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.49.55 (1)

Razman Roslan.

8) Razman Roslan

Razman menyertai Pahang daripada Selangor bersama Yol pada musim itu, dan bergandingan cukup mantap bersama Damion Stewart.

Selepas musim 2013, Razman lebih banyak tampil selaku kapten pasukan dan bertanggungjawab menjulang tiga trofi pada 2014.

Razman turut mengangkat kaki pada 2016, menyertai semula Selangor, sebelum ke Melaka. Kini di usia 39 tahun, Razman beraksi di Liga M5 Selangor Premier League bersama Kelana United.

Kini, Razman juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.51.09

Shahrizan Salleh.

9) Shahrizan Salleh

Antara pemain otai di Pahang ketika itu bersama Jalal ialah Shahrizan Salleh bertukar posisi daripada tengah kepada pertahanan kiri, dan bermain cukup baik.

Walaupun bukan nama yang besar, Shahrizan berjaya melabuhkan kariernya dengan cukup cemerlang, selepas kekal bersama Pahang sehingga 2016 sebelum menyertai Shahzan Muda.

Dia mengakhiri karier dengan berjaya memenangi kesemua trofi domestik bersama Pahang termasuklah Liga Super pada 2004. Ijan kini lebih banyak di belakang tabir bersama kejurulatihan skuad pelapis, termasuk bersama melatih skuad Bola Sepak Sukma 2022.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.52.18

Hafiz Kamal.

10) Hafiz Kamal

Antara pemain yang bermula daripada tidak dikenali, kepada pemain yang ditagih khidmatnya oleh kelab besar.

Hafiz antara pemain batch yang menaikkan semula Pahang selepas terjerumus ke Liga Perdana 2012 dan mula dikenali sebagai pakar set-piece, dan menjadi penyepak kemenangan sewaktu penentuan sepakan penalti Final Piala Malaysia 2014.

Hafiz turut meninggalkan Pahang pada 2016, menyertai Selangor, sebelum ke beberapa kelab seperti Perak, PKNP, dan kelab amatur. Kini Hafiz bersatu kembali bersama Zainal Abidin di Imigresen FC dalam saingan Liga M3.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 14.53.07

R Gopinanthan.

11) R Gopinanthan/Gopi Rizqi

Gopi antara pemain sayap anak Pahang terbaik dalam sejarah sehingga diburu beberapa kelab besar termasuklah JDT.

Dia merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian.

Pemain itu kemudiannya disambar JDT, sebelum kariernya agak menurun, dan akhirnya kembali semula ke Pahang pada 2020. Kini pada usia 34 tahun, Gopi adalah pemain kelab pendahulu Liga M3, Kuala Lumpur Rovers. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram