Skuad Liga M3 diramal beri kejutan, TFC dan Sri Pahang tersungkur, JDT kekal unggul tewaskan Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Rata-rata warga maya menganggap skuad Harimau Selatan bakal memperoleh kemenangan mudah dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PUSINGAN kalah mati kempen Piala Malaysia 2023 pada Jumaat menyaksikan tiga perlawanan akan berjalan secara serentak melibatkan enam pasukan iaitu Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kelantan FC, Kuala Lumpur Rovers dengan Terengganu FC dan Harini Selangor FT melawan Sri Pahang FC.

Antara perlawanan yang dinanti-nantikan ialah pertembungan membabitkan pasukan pendahulu liga, JDT dengan kelab terbawah liga, Kelantan FC.

Ini kerana rata-rata warga maya menganggap skuad Harimau Selatan bakal memperoleh kemenangan mudah dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan itu.

Dalam pada itu, dua lagi perlawanan dijangka menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan ekoran pertembungan tersebut akan menemukan dua pasukan Liga Super dengan pasukan Liga M3.

Meskipun Terengganu dan Pahang kedua-duanya diletakkan sebagai pasukan pilihan, namun Kuala Lumpur Rovers dan Harini Selangor FT pastinya sudah mempunyai rencana tersendiri bagi membolehkan mereka meneruskan kemaraan.

Untuk perlawanan pusingan pertama kejohanan kali ini, pemerhati sukan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati dan Frezella Amil akan memberi sudut pandang masing-masing mengenai ketiga-tiga pertemuan pada Jumaat ini.

1. JDT - Kelantan FC

Kelantan FC dilihat perlu bermain corak permainan bertahan bagi mengelakkan pasukan itu menanggung malu akibat kekalahan besar di tangan JDT dalam aksi Piala Malaysia 2023 pada Jumaat. — Facebook/TRW Kelantan FC

Menurut Zikry Marzuki, tidak boleh dinafikan bahawa JDT mempunyai kelebihan ketara sekiranya hendak dibandingkan dengan pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC.

Meskipun dilaporkan terdapat dua pemain yang terpaksa melupakan aksi tersebut, iaitu Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo, mereka masih mempunyai lambakan pilihan di posisi berkenaan.

"Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad dilihat sebagai alternatif terbaik dengan ketua jurulatih, Esteban Solari pastinya lebih dahaga untuk membawa pulang lebih banyak kejuaraan.

"Berdasarkan perbandingan antara kedua-dua pasukan, JDT berpotensi mencatatkan kemenangan besar dengan sekurang-kurangnya empat gol dapat dijaringkan," katanya.

2. Terengganu FC - Kuala Lumpur Rovers

Kuala Lumpur Rovers yang dijangka akan memberi kejutan kepada penyokong skuad Sang Penyu.

Melihat kepada situasi semasa Terengganu FC (TFC), kemungkinan pasukan itu akan menjadi belasahan kepada skuad Liga M3, Kuala Lumpur Rovers yang dijangka akan memberi kejutan kepada penyokong skuad Sang Penyu.

Terengganu yang kini sudah mencatat tiga kali seri dalam liga, membuka peluang kepada pasukan Liga M3 itu berikutan prestasi semasa skuad Sang Penyu.

Mengungguli kedudukan pertama saingan Liga M3, KL Rovers dijangka akan memberikan saingan kepada pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu untuk membawa pulang tiga mata penuh di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menurut Frezella Amil, pastinya KL Rovers mampu menewaskan Terengganu FC pada perlawanan 16 Piala Malaysia.

"Berdasarkan statisk pasukan, KL Rover berpotensi untuk menewaskan Sang Penyu dengan keputusan 2-1," katanya.

3. Sri Pahang FC - Harini Selangor FT

Harini Selangor FT merupakan antara pasukan yang mempunyai persediaan rapi memasuki saingan Liga M3 pada musim ini. — Facebook/HariniFT

Sementara itu, Rahmi Jumriati berpandangan, walaupun Harini FT berstatus sebagai Liga M3 namun tidak menjadi alasan untuk pasukan itu menang ke atas Sri Pahang 1-0 dan memberi kejutan kepada skuad kendalian Fandi Ahmad pada pusingan pertama saingan Liga Malaysia.

"Jaringan tunggal dari Harini FT itu dijangkakan bakal disumbangkan dari penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha yang mana boleh mengkucar-kacirkan jentera pertahanan skuad Tok Gajah. Disebabkan itu, jika Pahang perlu berwaspada dengan gerak geri pemain dengan gelaran Mat Yo itu," jelasnya.

Untuk rekod, Norshahrul merupakan bekas pemain Pahang pada 2018 dan 2019 dan pernah mencaringkan sembilan gol buat Tok Gajah dan dua gol tersebut dicetak ketika saingan Piala Malaysia pada 2018.

Malah, baru-baru ini Norshahrul mencuri tumpuan penyokong bola sepak domestik apabila golnya membantu pasukan tersebut menang 3-1 ke atas pesaing mereka iaitu Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Norshahrul dilihat menanduk bola dengan melompat dari tepi kawasan kotak penatli dan Van Persie pernah melakukan gaya sama sehingga dicalonkan sebagai finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram