PERAK FC mengejutkan kancah bola sepak tanah air selepas berjaya mencipta kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 3-1 dalam pusingan 16 saingan Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Kenari membuka tirai jaringan menerusi tandukan cantik ketua pasukan, Manuel Ott seawal minit pertama.
Tidak mahu ketinggalan, Perak FC dilihat mula memperkemaskan barisan pertahanan bagi mengekang asakan pasukan pelawat.
Perak FC akhirnya bangkit menewaskan penjaga gawang KDA FC pada babak kedua perlawanan menerusi sepakan penalti, Luciano Guaycochea, Luka Milunovic dan gol kemenangan Hakimi Mat Isa.
Luka Milunovic menjaringkan gol sulungnya untuk Perak ketika berdepan Kedah dalam saingan Piala Malaysia. — Facebook/MFL
Kemenangan lebih bermakna kepada penyokong serta pemain terutamanya Luka yang menjaringkan gol pertamanya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).
Luka yang menyumbang gol kedua dalam aksi tersebut dilihat tenang menjaringkan gol menerusi hantaran bantuan cantik daripada Firdaus Saiyadi.
Berkata kepada sidang media selepas perlawanan, Luka menyifatkan sokongan dan bantuan yang diterima adalah kunci atas pencapaian bermaknanya dari segi individu.
"Pertama sekali, saya amat berpuas hati dengan kemenangan yang dapat dicapai dalam perlawanan ini.
"Selepas ketinggalan 0-1, kami tidak berputus asa, kami menerima sokongan daripada bangku simpanan, ketika berada di bilik persalinan dan antara pemain," katanya.
Selepas ini, Perak FC akan melayan kunjungan Penang FC dalam saingan Liga Super 2023 (9 Ogos) sebelum aksi timbal balik Piala Malaysia berdepan Kedah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada 18 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram