KETUA jurulatih Perak, Yusri Che Lah mengesahkan salah seorang pemainnya, Seo Seon-ung mengalami kecederaan patah hidung selepas ditendang di muka oleh pemain Kedah, Rodney Celvin.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi yang mana kecederaan tersebut memerlukan Seon-ung untuk berehat bagi satu tempoh yang agak panjang.
Tangkap layar hantaran tersebut. —Instagram/bonaiii03.
Bagaimanapun, pemain Kedah itu tampil memohon maaf secara terbuka menerusi laman Instagram miliknya, bonaiii03, kepada Seo Seon-ung atas kejadian tersebut.
"Saya ingin memohon maaf kepada pemain Perak FC, penyokong-penyokong di atas insiden yang berlaku semasa perlawanan Piala Malaysia semalam (Khamis).
"Sejujurnya, saya tiada niat untuk mencederakan mana-mana pemain, insiden tersebut berlaku secara spontan setelah dikasari. Semoga pemain berkenaan cepat sembuh," katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam perlawanan tersebut, Rodney dilihat menendang muka Seo Seon-ung pada separuh masa kedua ketika Kedah Darul Aman (KDA) FC ketinggalan 2-1 yang mana pemain itu memberi reaksi selepas dikasari oleh pemain dari Korea Selatan itu.
Muhammad Usaid Jamal sebagai pengadil perlawanan bertugas, tidak teragak-agak untuk terus melayangkan kad merah ke atas bekas pemain Selangor itu dan Rodney bakal terlepas aksi kedua di laman sendiri pada 18 Ogos nanti.
Di bawah kendalian Yusri, barisan pemain skuad Seladang menampakkan peningkatan ketara selepas menewaskan KDA FC yang merupakan antara pasukan gergasi tanah air, sekali gus membawa bekalan selesa di tempat lawan pada aksi timbal balik kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram