PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) mempunyai ramai bintang yang berkualiti sehingga menyukarkan beberapa pemain mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.
JDT musim ini mempunyai lebih daripada 30 pemain yang membarisi skuad utama Harimau Selatan dan mereka perlu bersaing untuk merebut kesebelasan utama.
Ada beberapa pemain yang terpaksa diturunkan ke skuad JDT II bagi mendapatkan minit permainan untuk kekal cergas.
Musim ini lebih daripada lima pemain JDT telah dipinjamkan ke pasukan lawan untuk memberi peluang mereka mendapatkan minit permainan.
Lebih menarik lagi pemain yang jarang mendapat peluang beraksi di JDT kini semakin 'perform' bersama pasukan diwakili mereka.
Majoriti senaraikan tiga pemain pinjaman JDT yang perlu kekal bersama kelab terkini bagi meneruskan kecemerlangan mereka:
Daniel antara tonggak utama Sabah musim ini. — MFL
1. Daniel Sang Ting
Daniel Ting antara watak utama Datuk Ong Kim Swee pada musim ini bersama Sabah FC selepas dia merupakan pilihan utama untuk beraksi di posisi kiri pasukan.
Dipinjamkan dari JDT awal musim ini, Daniel telah beraksi dalam 17 perlawanan dan menjaringkan empat gol serta tiga assist bersama Sabah setakat ini.
Bersama JDT, Daniel Ting tidak sempat melakukan sebarang penampilan bersama skuad utama kerana dia lebih banyak bermain untuk JDT II musim lalu.
Daniel pernah berhenti bermain bola sepak pada 2018 dan kembali membuat kemunculan semula bersama KL City pada 2021.
Azrif bangkit bersama Sri Pahang musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
2. Azrif Nasrulhaq
Nama Azrif Nasrulhaq bersama JDT pernah tenggelam buat seketika selepas posisinya menjadi milik hakiki Matthew Davies.
Azrif yang menyinar bersama Selangor FC berjaya menarik minat JDT untuk merekrutnya pada 2016 sehingga menimbulkan kontroversi yang membangkitkan kemarahan penyokong Gergasi Merah.
Musim ini, Azrif bangkit bersama Sri Pahang selepas beraksi dalam 19 perlawanan dalam kejohanan Liga Super dan Piala FA 2023.
Walaupun Azrif tidak melakukan sebarang jaringan ataupun bantuan gol, pemain berusia 32 tahun itu menjaga kubu pertahanan Tok Gajah dengan sangat baik walaupun jarang mendapat peluang bersama JDT.
Izham gagal menyaingi kecemerlangan Farizal Marlias di JDT. — Facebook/Sri Pahang FC
3. Izham Tarmizi
Antara salah satu keputusan terbaik yang dibuat bekas penjaga gol Harimau Muda A meninggalkan JDT dengan menyertai Sri Pahang FC musim ini.
Izham Tarmizi gagal menyaingi kecemerlangan Farizal Marlias sepanjang dia beraksi bersama Harimau Selatan sejak 2014 apabila sering kali menjadi pilihan kedua penjaga gol JDT.
Lain pula ceritanya musim ini, apabila Izham membuktikan dia masih penjaga gol terbaik dalam Liga Malaysia apabila melakukan 11 penampilan bersama Sri Pahang FC.
Dalam 11 perlawanan, Izham pernah tidak dibolosi dalam lima aksi semasa dia ditugaskan untuk menjaga gawang gol Tok Gajah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram