[VIDEO] Bakal ikut jejak langkah Cristiano Ronaldo, anak Melayu kini berpeluang sarung jersi Real Madrid


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Fahmi kini sedang berlatih bersama Akademi Real Madrid. — Tiktok/mann.mann

CITA-CITA untuk beraksi bersama kelab gergasi Eropah pastinya impian buat semua anak-anak muda yang ingin bergelar pemain bola sepak profesional dalam negara ini.

Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar JR, Kylian Mbappe dan Erling Haaland antara bintang dunia yang kini pastinya menjadi idola anak-anak muda serta berada dalam kelas mereka tersendiri.

Ia sesuatu perkara yang sukar untuk pemain Malaysia beraksi di Eropah dan mendapat minit permainan bersama kelab di sana kerana corak permainan dan fizikal ternyata jauh berbeza.

Namun begitu, beberapa pemain pernah dan sedang beraksi di Eropah antaranya Safawi Rasid (Portimonense S.C.), Luqman Hakim Shamsudin (UMF Njardvik), Nooa Laine (Seinajoen Jalkapallokerho) dan ramai lagi pemain muda yang sedang berkelana di akademi Eropah.

Tetapi tidak semua mendapat peluang seperti Muhammad Fahmi Darwish yang menerima latihan daripada kelab gergasi Eropah, Real Madrid CF dan berpeluang diserapkan ke pasukan itu.

RM 2

Fahmi (hujung kiri) bersama pelatih Akademi Real Madrid. Tiktok/mann.mann

Menerusi perkongsian video oleh @mann.mann_ di media sosial, anaknya kini sedang bersama Akademi Real Madrid dan jika dia terpilih, Fahmi akan menjadi pemain pertama dari Malaysia menyertai kelab juara 14 kali Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu.

Dalam video itu, Fahmi sedang dalam proses pendaftaran bersama Akademi Los Blancos dan bakal ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya di Sepanyol.

Fahmi dilihat sudah mula turun berlatih bersama Akademi Real Madrid dengan beberapa pelatih dan dilihat tidak kekok untuk memulakan latihan dengan mereka.

Menurut bapa Fahmi, Real Madrid tidak membenarkan ibu bapa masuk ke kawasan latihan berkemungkinan supaya tidak mengganggu fokus pemain untuk beraksi di atas padang.

Real Madrid mempunyai akademi yang berjaya di Eropah selepas sudah menghasilkan beberapa pemain berstatus bintang yang sudah pun melakukan debut bersama Los Blancos mahupun kelab gergasi yang lain.

Antara produk akademi Real Madrid ialah Iker Casillas, Daniel Carvajal, Marco Asensio, Alvaro Morata, Juan Mata dan ramai lagi.

Majoriti berharap Fahmi mampu menggapai impian beraksi bersama Real Madrid sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram