Piala Malaysia: Impian 'debut' 4 import baharu Kelantan lawan JDT terbantut, gagal dapat sijil ITC


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Muhaimin Izuddin antara watak utama TRW musim ini. — Facebook/TRW

KELANTAN FC melakukan kejutan dalam minit-minit akhir jendela perpindahan pemain kedua selepas mengumumkan empat pemain import baharu bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2023.

Antara pemain yang diumumkan ialah Aliakbar Ahmadi (Iran), Dennis Buschening (Thailand), Ahmed Magdy (Mesir) dan Alie Sesay (Sierra Leone).

The Red Warriors kini pastinya menagih khidmat empat pemain baharu itu untuk membantu Kelantan pada aksi pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT).

Sebelum ini dalam media sosial mula menjadi pertikaian orang ramai yang mendakwa Kelantan masih belum melunaskan tunggakan gaji beberapa bekas pemain.

Allee Putra

Allee (kiri) dijangka akan melakukan debut menentang JDT.

Bukan sahaja tunggakan gaji, malah nasib malang terus menimpa Kelantan apabila dipercayai tidak dapat menurunkan empat pemain import baharu kerana dipercayai masih belum mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import.

Menerusi perkongsian Berita Bola Kelantan di Twitter, dia mendakwa empat import TRW terpaksa menunggu lebih lama untuk melakukan debut bersama pasukan kendalian Angel Alfredo Vera itu.

"Khabarnya, pemain-pemain import baharu tidak akan mendapatkan 'debut' di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan malam ini (Jumaat).

"Ia kerana kegagalan memperolehi sijil ITC mereka dan terpaksa menunggu lebih lama untuk beraksi bersama," katanya.

Jika benar perkara ini berlaku, ia akan menyukarkan Kelantan untuk menyekat kemaraan JDT dalam perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia.

Namun menurut posting sama, Kelantan mendapat suntikan positif selepas berjaya mendaftar Allee Putra bagi perlawanan menentang Harimau Selatan pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram