SEORANG warga asing lelaki ditahan polis susulan perbuatan jijiknya yang bertindak mencabul wanita warga emas di sebuah lot kedai Jalan Bunga Tanjung, Taman Muda, Ampang, Selangor pada Rabu.
Insiden berkenaan disaksikan beberapa lagi individu di kawasan kedai berhampiran dengan rakaman kejadian turut mendapat liputan meluas di laman media.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 71 tahun mengumpul kotak terpakai untuk dijual.
Menurutnya, suspek secara tiba-tiba bertindak meraba paha mangsa.
"Mangsa telah menegur perbuatan itu namun suspek terus melakukannya. Suspek kemudian membuka seluar dan baju serta memegang kemaluannya sebelum menunjukkannya kepada mangsa.
"Setelah itu, suspek memeluk mangsa dari arah belakang menyebabkan wanita tersebut menjerit meminta bantuan sebelum ditahan oleh orang awam yang datang membantu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Pandan Indah yang tiba di lokasi kemudian membuat tangkapan semula pada pukul 3.40 petang.
Katanya, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai tukang sapu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Suspek yang didapati positif dadah itu juga mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan narkotik," ujarnya.
Tambahnya, suspek kini direman empat hari sehingga Ahad untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram