JARINGAN daripada Luciano Guaycochea, Luka Milunovic dan Hakimi Mat Isa membantu Perak FC membenam Kedah Darul Aman (FC) dalam perlawanan pertama Piala Malaysia pada Khamis.
Meskipun mendahului pada minit pertama menerusi tandukan deras Manuel Ott, skuad Sang Kenari gagal menyekat kebangkitan yang dicipta tuan rumah.
Keputusan tersebut pastinya mengejutkan penyokong bola sepak tanah air memandangkan anak-anak buah Nafuzi Zain mempunyai kelebihan berbanding lawan mereka itu.
Selain mempunyai kualiti skuad yang lebih baik, KDA FC turut berada dalam prestasi cemerlang dalam Liga Super yang mana meletakkan mereka di tangga keempat dalam carta.
Oleh itu, keputusan berkenaan pastinya cukup menggembirakan peminat setia skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan sebahagian daripada mereka mula mengidamkan tiket ke peringkat suku akhir.
Tetapi, bagi pengendali pasukan, Yusri Che Lah, masih terdapat cabaran besar menanti mereka dalam perlawanan timbal balik yang akan diadakan di Stadium Darul Aman, Kedah pada 18 Ogos.
Yusri (tengah) jelas cukup berpuas hati dengan persembahan daripada anak-anak buahnya. — Facebook/Perak FC
"Kemenangan yang amat bermakna buat kesemua pemain yang bekerja keras dan kita belum layak sebenarnya. Apa pun, masih ada lagi 90 minit di Darul Aman yang belum menjanjikan apa-apa.
"Kepada semua pemain, saya tabik kepada mereka kerana berjuang betul-betul untuk Perak dan saya rasa saya sendiri sudah lama tidak memenangi perlawanan di Stadium Perak dan hadiah untuk semua peminat," katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan.
Sementara itu, bagi Nafuzi pula, layangan kad merah kepada bek tengah, Rodney Calvin pada minit ke-61 permainan sedikit sebanyak merencatkan pelan permainan mereka.
"Memang kerugian (kad merah itu). Sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan kita memerlukan gol dan bermain dengan kekurangan pemain.
"Bukan senang untuk beraksi berdepan Perak, kita sendiri tengok Perak bermain dengan bersemangat sekali dan berbeza berbanding sebelum ini," katanya.
Pemain pertahanan berusia 26 tahun tersebut diarahkan untuk keluar padang apabila didapati menendang muka penyerang lawan, Seo Seon-ung akibat pergelutan bola.
Insiden tersebut menyaksikan pemain kelahiran Korea Selatan itu mengalami patah hidung sepertimana disahkan Yusri selepas aksi berkenaan.
Tambah Nafuzi lagi, pasukannya sudah menjangkakan perlawanan sengit bakal disajikan skuad TBG meskipun mereka tidak berada dalam prestasi terbaik sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram