SEBELUM Liga Sepak Takraw (STL) Emas Annuar 2022/23 bagi merebut kejuaraan Champions Cup melabuhkan tirainya pada Sabtu, empat pasukan iaitu Perak Bison, Penang Black Panthers, Johor Tigris dan Negeri Sembilan Antlers akan berjuang untuk pusingan separuh akhir kejohanan tersebut.
Antara pasukan yang mencuri tumpuan pada musim ini ialah skuad Bison yang mana mereka ditabalkan sebagai juara STL musim ini sebelum menjadi naib johan selepas tewas di tangan Black Panthers pada Piala Challenge Cup.
Regu dari Utara tanah air itu sekali lagi akan menempuh jalan sukar apabila dijadualkan akan menentang Black Panthers pada pusingan separuh akhir dan perlawanan tersebut dijangka menjadi aksi paling ditunggu-tunggu penyokong sukan tersebut.
Namun sebelum penyokong dihidangkan dengan aksi libas daripada para pemain pada Jumaat ini, skuad Bison mempunyai pengalaman kurang enak dari segi mutu pengadilan sepanjang mengambil bahagian dalam saingan STL musim ini.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Pengurus Perak Bison, Syamsul Istar Ibrahim Istar yang berkongsi bahawa pasukannya tidak terkecuali daripada menjadi mangsa mutu pengadilan dari juri STL musim ini.
Antara pemain utama regu Bison menentang Tigris. — Facebook/STL
"Dari segi pengadilan tak berani nak cakap apa. Mungkin bagi pihak juri ada penilaian mereka sendiri jadi kita kena terima saja. Tapi agak peliklah dari segi konsistensi setiap juri itu.
"Tapi perlawanan pun ada yang dah habis jadi kita optimis dengan yang bakal jadi. Yang dah jadi biarkan saja," katanya kepada Majoriti ketika mengulas mutu pengadilan pada aksi menentang Johor Tigris.
Perlawanan yang diadakan di Studio Iskandar Malaysia, Johor pada Rabu itu menyaksikan anak-anak buahnya melakar kejayaan 2-1 ke atas Johor Tigris pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan meskipun terpalit dengan isu pengadilan.
Selain itu, Syamsul Istar juga menzahirkan hasratnya untuk melihat agar pihak penganjur STL akan menambah baik mutu pengadilan pada kejohanan musim depan bagi mengelak perkara yang boleh menimbulkan kontroversi.
"Bagi saya STL ini satu pertandingan yang dah dibentuk sebagai pertandingan yang besar dan grand. Jadi mutu pengadilan perlu selari dengan kualiti permainan. Ada ruang untuk penambahbaikan dari segi penganjuran dan pengadilan.
"Perkara itu penting supaya nampak lebih selari. Set up dah cantik tapi mutu pengadilan ramai yang pertikaikan. Bukan kami saja cakap. Bagi saya di pihak pengadil patut ada standard khas," tambahnya.
Tangkap layar isu kontroversi pengadil pada aksi Bison menentang Black Panthers. — Facebook/STL
Bukan hanya perlawanan menentang Tigris, regu Bison juga menjadi mangsa pengadil ketika perlawanan akhir Piala Challenge Cup yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Penang Black Panthers.
Dalam perlawanan itu, pengadil perlawanan dan juri (video) didakwa melakukan kesilapan berlaku pada pertengahan set kedua yang mana Black Panthers meminta cabaran selepas pengadil mengesan kaki tekong regu Bison melepasi jaring.
Video rujukan menunjukkan hadangan tekong Perak Bison, Jakkrit Thinbanbong tidak batal dan turut memaparkan kesalahan perejam Penang Black Panthers, Aekasit Naphom. Namun yang peliknya keputusan pengadil tetap berpihak kepada skuad Harimau Kumbang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram