PUSINGAN kedua Liga Super yang sedang berlangsung ketika ini berjalan rancak dengan aksi menarik dipamerkan setiap pasukan bagi terus memperbaiki kedudukan carta liga.
Namun, usaha untuk mengejar pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) kian pudar dengan pasukan itu semakin jauh meninggalkan kelab lain selepas berjaya merekodkan 18 kemenangan tanpa kalah setakat ini.
Beberapa pasukan kini berada di kelompok bahaya yang mungkin berpotensi untuk menjunam ke saingan Liga M3 musim depan.
Gagal mempamerkan aksi konsisten sepanjang 18 perlawanan, tiga kelab dilihat berada dalam zon bahaya jika tiada perubahan dilakukan oleh pengurusan pasukan.
Skuad Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Terengganu FC merupakan antara pasukan yang mungkin tidak lagi beraksi di saingan utama musim depan selepas gagal mengekalkan tempat di kelompok enam pasukan teratas.
Bagi mengelak daripada tersingkir, berikut merupakan langkah yang perlu diambil oleh kelab terbabit sekiranya ingin kekal di Liga Super musim depan.
1. Negeri Sembilan FC - Beri Hein Htet Aung peluang
Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) mendapat kekuatan baharu apabila pemain sayap Myanmar yang beraksi bersama Selangor FC, Hein Htet Aung, menyertai skuad itu secara pinjaman bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Boleh bermain di posisi sayap dan penyerang, Htet Aung dilihat sebagai senjata yang mampu menjadi pemusnah pasukan lawan.
Minit permainan lebih perlu diberikan kepada pemain tersebut dengan tempatnya dalam kesebelasan utama juga wajar disenaraikan oleh jurulatih sekiranya ingin melihat keberkesanan dalam tempoh terdekat.
Untuk rekod, Htet Aung mencatatkan dua gol dalam 12 penampilannya bersama Gergasi Merah sebelum ini sekali gus menjadikannya antara pemain harapan di NSFC kelak.
2. Terengganu FC - Perbaiki keharmonian pasukan
Gagal mencapai kemenangan dalam tiga pertemuan terdahulu menyaksikan skuad Penyu kini berada di kedudukan ketujuh carta liga dengan 26 mata keseluruhan dimiliki.
Khabar angin mengatakan pasukan itu sedikit terjejas dengan isu keharmonian yang melanda bilik persalinan skuad tersebut.
Sebelum ini, jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner mengundang perhatian ramai selepas menyisihkan penyerang utamanya, Jordan Mintah ketika pertemuan menentang Kedah FC pada bulan lalu.
Difahamkan, keputusan itu diambil atas faktor masalah disiplin dipamerkan penjaring terbanyak skuad Penyu terbabit yang sekali gus menyebabkan pasukan berkenaan berada di bawah tekanan dari dalam dan luar padang.
Justeru, keharmonian dalam pasukan perlu segera diperbaiki oleh kelab tersebut dengan kepercayaan terhadap Tomi perlu dijadikan keutamaan oleh pemain.
Keyakinan tinggi dan fokus untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan seterusnya nanti wajar dijadikan keutamaan yang secara tidak langsung akan turut mempengaruhi sokong penonton terhadap mereka.
3. Penang FC - Percayakan tonggak muda
Penang FC perlu mengambil langkah berani untuk mempertaruhkan ubi muda pasukannya, Alif Ikmalrizal dalam saingan berikutnya.
Walaupun baru berusia 21 tahun, namun ia bukanlah alasan untuk pemain itu membuktikan bahawa beliau mempunyai ciri-ciri seorang penyerang yang berbisa.
Di saingan Liga Super musim ini, Alif telah diturunkan sebanyak lapan kali dan berjaya membalas kepercayaan jurulatih dengan meledak dua gol setakat ini.
Jaringan itu sekali gus membuktikan betapa pasukan terbabit memiliki penyerang muda berpotensi untuk dikembangkan pada musim akan datang sekiranya tumpuan lebih diberikan kepadanya.
Perlawanan berikutnya, skuad Harimau Kumbang akan berkunjung ke Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan untuk bertemu pasukan Seladang dan kelibat Alif akan sentiasa menjadi keutamaan penyokong setia Penang.
Dengan baki perlawanan liga yang semakin menghampiri ke penghujung, ketiga-tiga pasukan di atas perlu mengambil langkah drastik sekiranya ingin untuk terus mengekalkan tempat di saingan utama musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram