KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tidak memandang rendah keupayaan Perak FC apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Perak pada Khamis.
Ketua Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain berkata, The Bos Gaurus menampilkan aksi yang semakin baik sejak akhir-akhir ini biarpun dua kemenangan dalam aksi Liga Super 2023 berpihak kepada Sang Kenari.
"Untuk perlawanan sebelum ini memang kita menang tetapi aksi menentang Perak adalah perlawanan yang berbeza.
"Perak menampakkan peningkatan dan ditambah pula dengan import baru dan pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini juga sudah kembali bermain dengan pasukan yang menunjukkan persefahaman semakin baik dan tersusun," katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Kesebelasan utama Perak FC menentang Kedah pada Khamis. — Facebook/Perak FC
Tambahnya, pemain KDA FC perlu bersedia mental dan fizikal kerana percaya lawan itu bakal memberikan tentangan yang cukup sengit daripada pasukan tuan rumah.
"Daripada segi persiapan, kami perlu lebih bersedia kerana kami akan beraksi dua kali dan sudah semestinya kami mahu mencari satu keputusan yang positif untuk dibawa pulang bagi menghadapi pusingan kedua di Alor Setar," ujarnya.
Dalam pada itu, Nafuzi sempat memberikan kredit kepada Ifedayo Olusegun atas prestasi semasanya meskipun baru menyertai Kedah semasa jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
"Ifedayo setakat ini begitu cemerlang setiap aksi menjaringkan gol, tiga perlawanan empat jaringan itu adalah pencapaian yang baik.
"Saya yakin dari semasa ke semasa prestasi Ifedayo akan lagi meningkat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram