
PROSES rundingan antara Perak FC dan bekas ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim berkaitan rundingan gaji difahamkan masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.
Berdasarkan satu sidang media yang dibuat Teong Kim pada Khamis, dia yang diwakili peguam, Adam Yap berkata, terdapat kemungkinan rundingan perlu dilakukan secara formal.
"Secara amnya, kedua-dua pihak memang ada berbincang, tetapi masih belum mendapat satu keharmonian setakat ini. Jadi, satu lagi usaha akan dibuat jabatan ini untuk mencapai satu keharmonian perusahaan.
"Tetapi, kali terakhir, akhir bulan ini (Ogos), jika merujuk kepada undang-undang, perkara ini akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan," kata Adam Yap.
Perkara tersebut dinyatakan kepada media selepas proses pertemuan itu berlangsung di Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak di Ipoh, Perak pada Khamis.
Sebelum ini, Teong Kim membuat satu tuntutan rasmi kepada kelab Utara tanah air berkenaan mengenai tunggakan gaji yang dialaminya selepas digugurkan daripada tugasan pengendali Perak FC pada Mei lalu.
Keputusan berkenaan dibuat berikutan kegagalan jurulatih berusia 59 tahun berkenaan untuk memberi sentuhan bermakna buat skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan hanya dua kemenangan direkodkan mereka musim ini sebelum digugurkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram