PENANG FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Khamis.
Dua gol daripada Tchetche Kipre dan satu daripada Zhafri Yahya memberikan skuad Warga Kota kelebihan tiga gol sebelum wisel penamat separuh masa ditiupkan.
Bagi menambah derita buat tuan rumah, penyerang KL City FC, Romel Morales menjaringkan gol keempat perlawanan pada minit ke-83, sekali gus memastikan bekalan selesa dibawa pulang mereka.
Kekalahan itu pastinya sukar diterima rata-rata penyokong skuad Harimau Kumbang yang terus kecewa dengan prestasi semasa pasukan tersebut.
Dalam saingan Liga Super, skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu kini menduduki tangga ke-10 selepas hanya mengutip 19 mata daripada 18 perlawanan.
Luka daripada kedudukan tersebut diburukkan lagi dengan kekalahan memalukan kepada KL City FC yang mana akan menyukarkan harapan mereka untuk menempah tiket ke peringkat seterusnya.
Segelintir penyokong Penang FC berkumpul sekitar Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk meluahkan kekecewaan mereka selepas pasukan itu tumpas kepada KL City FC.#majoriti #kualalumpur #penang pic.twitter.com/MM4WCIuLXh
— Majoriti (@majoritionline) August 4, 2023
Jadi, untuk menyuarakan kehampaan tersebut, segelintir penyokong memilih untuk mengadakan protes di perkarangan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang selepas perlawanan tersebut berakhir.
Menerusi satu video yang kini giat dikongsikan di media sosial, kelihatan beberapa individu membakar suar berwarna merah sambil melaungkan chant yang diajukan kepada pihak pengurusan Penang FC.
Situasi itu jelas mengundang perhatian ramai apabila penonton yang hadir untuk menyaksikan perlawanan tersebut memilih untuk memerhatikan protes itu dari jarak jauh.
Namun, tiada laporan lanjut dikeluarkan mana-mana pihak mengenai itu itu dengan tiada individu dilaporkan mengalami sebarang gangguan daripada protes berkenaan.
Sebelum ini, terdapat laungan daripada sebahagian penyokong skuad Harimau Kumbang yang mahu mengadakan sesi tunjuk perasaan selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada penghujung Julai lalu.
Bagaimanapun, hasrat tersebut berjaya dihidu pihak pengurusan yang berkesempatan menghalang perkara itu kerana dikhuatiri akan mengundang ancaman terhadap pemain.
Penang FC masih berpeluang untuk mencipta kejutan dalam Piala Malaysia apabila mereka bakal berdepan KL City FC untuk aksi timbal balik di Stadium Cheras, KL pada 18 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram