AKSI pertama kempen Piala Malaysia membabitkan pasukan KL City dan Penang FC yang membuka tirai di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis menyaksikan skuad Warga Kota meraih keputusan 4-0.
KL City berjaya mencetak tiga gol dalam separuh masa pertama sekali gus meletakkan pasukan The City Boys dalam kedudukan cukup selesa.
Gol itu dihadirkan oleh Tchetche Kipre seawal minit ke-4 dan ke-26 sebelum Zhafri Yahya meledak gol ketiga menerusi jaringan meroket pada minit ke-31.
Zhafri (kiri) menyumbang gol ketiga buat KL City FC.
Penang FC ada membuat percubaan menerusi hantaran Hadin Azman namun penjaga gol pelawat, Kevin Ray Mendoza lebih bijak membaca arah pergerakan bola untuk menidakkan jaringan Harimau Kumbang.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Chong Yee Fatt mula menggandakan asakan ke gawang KL City Boys dengan melakukan beberapa hantaran berbahaya termasuk daripada Nik Akif Syahiran, Hadin dan Adriano Narcizo pada minit ke-76.
Gawang Penang FC terus dirobek apabila Romel Morales mengambil kesempatan membuat placing cukup kemas untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khatul Anuar Md Jalil bagi jaringan keempat KL City FC.
Secara keseluruhan, Penang FC dilihat agak bergelut terutamanya pada separuh masa pertama dipercayai kerana masalah komunikasi atas padang.
Seorang penyokong skuad Harimau Kumbang, Shah Akmal berpendapat gol-gol skuad The City Boys terhasil daripada kesilapan pasukan itu sendiri.
"Gol pertama silap Adib (Muhammad Adib Abdul Ra'op), manakala Rafael Vitor off position.
"Gol kedua, mana pemain pertahanan yang sepatutnya lock posisi Kipre? Gol ketiga daripada Zhafri tak ada seorang pun tutup ruang dia. Gol tu superb," katanya.
"Teruk Penang main... banyak bola tolak ke belakang import baharu (Abdeen Abdul) pun tak berapa menyerlah," komen Ismail Ibrahim.
"Defend Penang terlalu naik atas... Kena serang terus defend huru-hara," ujar Syamim Muhammad pula.
"Kena 3 - 0 ka...hahaha... layan 3 Abdul lagi 'baguih' la oii," usik Mohd Shahril.
KL City FC bakal melayani kunjungan Penang FC untuk saingan timbal balik di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 18 Ogos nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram