KELANTAN FC sah membawa masuk lima pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan selepas larangan perpindahan ditarik semula oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.
Dua pemain yang dibawa Kelantan pernah beraksi di Indonesia sebelum memilih menyertai The Red Warriors bagi baki saingan Liga Super.
Pemain tersebut ialah Alie Sesay dan Youssef Ezzejjari yang mempunyai rekod cemerlang bersama kelab Indonesia, namun dilihat tidak konsisten selepas meninggalkan negara itu.
Ezzejjari pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Romania pada musim 2020/21 apabila menjaringkan sebanyak 19 gol dalam 24 penampilan.
Tetapi itu bukan jaminan untuk Ezzejjari berjaya dalam Liga Super kerana rata-rata pemain import yang pernah beraksi di Indonesia tidak mampu mengulangi kejayaan mereka.
Majoriti senaraikan antara empat pemain import yang mempunyai profil bagus bersama kelab Indonesia tapi 'flop' sebaik sahaja beraksi dalam Liga M:
Rafael ketika mewakili PS Barito Putera. — Agensi
1. Rafael Silva ( Sri Pahang)
Rafael Silva hadir dengan reputasi apabila dia pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Indonesia ketika beraksi bersama PS Barito Putera apabila menjaringkan 14 gol dan melakukan empat assists dalam 28 penampilan.
Rafael sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam Liga Brazil, Portugal, China, Bolivia, Iraq, dan Indonesia.
Sepanjang 216 perlawanan, Rafael menjaringkan 60 gol dan 13 assists sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak di sembilan buah negara.
Meskipun hadir dengan reputasi cemerlang, Rafael masih lagi gagal menjaringkan gol tambah teruk lagi apabila dia tidak berjaya membantu skuad muda Pahang mencetak jaringan ketika bertemu KL Extension dalam Piala MFL baru-baru ini.
Sebelum menyertai Terengganu, David beraksi untuk Persebaya Surabaya. — Agensi
2. David da Silva (Terengganu FC)
Pernah membawa Terengganu FC ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021, penyerang kelahiran Brazil, David da Silva mengambil keputusan untuk berhijrah ke Indonesia untuk menyertai Persib Bandung.
Berdasarkan statistik musim lepas, pemain berusia 33 tahun itu masih tidak kehilangan sentuhan di atas padang apabila dia mudah menjaringkan 14 gol dalam 17 penampilan Liga 1 Indonesia.
Sumbangannya itu membolehkan Persib Bandung menduduki tangga ketiga liga dengan namanya terus disebut-sebut penyokong bola sepak apabila dia berada di tangga teratas carta penjaring terbanyak.
Namun lain pula ketika menyertai Terengganu dari Persebaya Surabaya, David selalu menjadi kecaman penyokong Sang Penyu kerana aksinya ketika menyarung jersi pasukan itu.
David hanya mampu menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan dalam Liga M.
Pacheco antara pemain pertahanan yang disegani dalam Liga Indonesia. — Agensi
3. Willian Pacheco (Selangor FC)
Willian Pacheco bukanlah seorang penyerang, tetapi nama pemain ini cukup dikenali oleh penyokong Indonesia kerana corak pertahanan yang dipamerkannya dalam liga negara itu.
Pacheco merupakan seorang pemain pertahanan tinggi lampai yang pernah menyertai Selangor FC dari Persija Jakarta pada musim 2019.
Walaupun Pacheco hadir dengan reputasi besar dari Indonesia, tetapi ia tidak mampu membantu Selangor daripada dibolosi 35 jaringan dalam 22 perlawanan.
Kini Pacheco tidak mempunyai kelab selepas dilepaskan oleh Bali United pada musim ini yang memburu pemain import pertahanan baharu.
Beto musim ini mewakili Madura United. — Agensi
4. Beto Goncalves (Penang FC)
Penyokong Harimau Malaya pastinya mengenali nama pemain naturalisasi Sang Garuda, Beto Goncalves yang hampir membuatkan skuad kebangsaan terduduk kecewa tewas di bumi Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Gelora Bung Karno pada 2019.
Beto berjaya menjaringkan dua gol sebelum Shafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh sempat melakukan 'comeback' sekali gus membantu Malaysia menjuarai perlawanan itu.
Disebalik kegemilangannya bersama Indonesia, Beto pernah gagal ketika beraksi di Malaysia bersama Penang FC pada 2015.
Ketika itu Beto hanya sempat mencetak tujuh gol daripada 17 penampilannya bersama Harimau Kumbang sebelum kembali ke Indonesia dan tidak pernah beraksi lagi di luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram