'Betul ke pernah skor lawan Real Madrid?', fans Selangor mula persoal aksi Boakye lawan PDRM


  • Podium
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Antara aksi perlawanan di antara Selangor dan PDRM FC pada Khamis.

SELANGOR FC berjaya melunaskan dendam ke atas PDRM FC selepas menundukkan The Cops dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia 2023.

Gergasi Merah tersentak pada minit ke-25 permainan selepas pemain baharu PDRM, Hadi Fayyadh berjaya menyempurnakan jaringan selepas bola yang ditendang Bruno Suzuki terkena tiang.

Tempo perlawanan pada separuh masa pertama agak perlahan selepas kedua-dua pasukan saling balas membalas serangan.

Anak-anak buah kendalian Tan Cheng Hoe gagal menyamakan kedudukan sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

PDRM

Hadi Fayyadh meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.

Bersambung babak kedua, Selangor kembali garang selepas hantaran lintang Brendan Gan berjaya dimanfaatkan oleh Ayron del Valle pada minit ke-56 perlawanan.

Selepas beberapa minit, Ayron memastikan Selangor berada di hadapan selepas berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan gunting di hadapan gawang gol PDRM pada minit ke-63 permainan.

Sepuluh minit kemudian, pertahanan muda Selangor, Harith Haikal menambah duka The Cops dengan tandukan mudah selepas pertahanan PDRM gagal mengawal pergerakan pemain berusia 21 tahun itu.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, Yohandry Orozco berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan padu pada masa tambahan.

Keputusan kekal 4-1 yang mana Selangor berjaya menembus kekecewaan tewas di tangan PDRM dalam perlawanan Liga Super pada 3 Jun lalu.

2167261

Boakye menjadi perhatian penyokong Gergasi Merah.

Walaupun berjaya menewaskan PDRM, nama penyerang baharu Selangor, Richmond Boakye menjadi perhatian penyokong Gergasi Merah yang dilihat tidak banyak memberikan sumbangan dalam perlawanan ini.

"Apa penyerang baharu itu buat? Berat dan malas, harap bola sampai betul-betul dekat kaki dia dalam kotak penalti," kata Nazli Nadzir.

"Apa function nombor sembilan itu? lari satu padang ke? Hadi Fayyadh juga relaks lari satu padang dapat gol," ujar Rohaizad Rosli.

"Macam apa entah import baharu itu, macam mana boleh join Selangor?" soal Mie Nadzmie.

"Betul ke Boakye gol lawan Real Madrid? Lawan PDRM pun susah nak skor. Semoga perpindahan Lee Tuck ke Selangor itu bukan sahaja khabar angin," kata Ruhaizad Iman.

Selangor bakal melayani kunjungan PDRM di Stadium MBPJ pada 19 Ogos nanti untuk perlawanan kedua Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram