ISU tunggakan gaji bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap bola sepak di negara ini dengan beberapa pasukan pernah terpalit dengan masalah tersebut ke tahap mengejutkan.
Sebagai contoh, musim lalu, terdapat laporan mengatakan kebajikan pemain serta staf kejurulatihan Melaka United dan Sarawak United terabai untuk beberapa bulan.
Meskipun aduan terus dibuat kepada badan-badan bersesuaian, pihak pengurusan kelab seperti hanya berdiam diri sehingga perkara itu menjadi bahan bualan hangat peminat bola sepak tanah air.
Untuk memastikan perkara sebegitu tidak berulang, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memilih untuk tidak memberikan lesen buat mereka beraksi dalam Liga Super 2023.
Bagaimanapun, pendekatan itu seakan-akan gagal untuk membendung hal sebegitu daripada berulang apabila kemelut pengurusan sekali lagi menjadi topik hangat musim ini.
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur, Kelantan FC difahamkan mengalami masalah demikian sejak awal musim lalu dengan laporan mengatakan sebahagian besar pemain tidak menerima gaji pada tarikh ditetapkan.
Pelbagai kesan dapat disaksikan akibat daripada kemelut gaji skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga ura-ura menyebut pemilik kelab, Norizam Tukiman sering menghemburkan kata-kata kesat sehingga mengeruhkan lagi keadaan.
Rentetan daripada isu tersebut, beberapa pemain dilaporkan memilih untuk menamatkan kontrak masing-masing bagi membolehkan mereka meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) secara percuma.
Situasi berkenaan pastinya mencalarkan imej kelab itu dengan lebih teruk memandangkan mereka pernah berada dalam kemelut kewangan yang cukup merisaukan.
Berdasarkan lipatan sejarah bola sepak negara, Kelantan FC terjerumus ke dalam masalah terbabit pada pertengahan dekad lalu ketika mereka masih berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Hal tersebut menemui kemuncaknya pada 2018 apabila skuad TRW terus bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik dalam Liga Super akibat kesan buruk terhadap mentaliti pemain.
Pada penghujung musim itu, Kelantan FC terpaksa menelan realiti pahit apabila mereka tersingkir daripada divisyen teratas bola sepak negara buat kali kedua sepanjang sejarah penubuhan kelab.
Masalah gaji yang dialami mengakibatkan moral skuad Sang Kenari sedikit terkesan pada 2020. — Facebook/Kedah FA
Tetapi, rekod buruk tersebut masih belum dapat memberi pengajaran buat kelab itu selepas terdapat laporan tunggakan gaji sekali lagi dihadapi pemain.
Berdasarkan laporan akhbar pada 4 Ogos 2021, Kelantan FC yang ketika itu beraksi dalam Liga Perdana dikenakan pemotongan tiga mata selepas gagal melangsaikan tunggakan.
Tindakan tersebut dibuat FAM selepas satu sesi mesyuarat diadakan dengan nasib Melaka United, Sarawak United dan PDRM juga dibincangkan ketika pertemuan itu.
Hal tersebut pastinya memberi kesan cukup mendalam buat penyokong bola sepak tempatan memandangkan isu pembayaran gaji seperti tidak diendahkan pihak pengurusan.
Namun, apa yang lebih sukar untuk dilupakan adalah apabila gergasi Liga Super, Kedah FA turut berdepan situasi sedemikian.
Meskipun tiada laporan rasmi dibuat kepada badan induk bola sepak negara, terdapat aduan yang dibuat kepada Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Isu tersebut disahkan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang enggan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengharapkan agar pihak pengurusan kelab dapat menyelesaikannya sebaik mungkin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram