Kekalahan lalu jadi rujukan Cheng Hoe benam Sang Saka Biru


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Cheng Hoe jelas berasa gembira dengan semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya. — Facebook/Selangor FC

KETINGGALAN pada separuh masa pertama permainan tidak merencatkan perancangan Selangor FC untuk membuka kempen Piala Malaysia 2023 dengan langkah kanan ketika berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Khamis.

Dua gol daripada Ayron del Valle dan satu yang masing-masing disumbangkan Harith Haiqal dan Yohandry Orozco memastikan skuad Gergasi Merah mempunyai bekalan mencukupi.

Walaupun pasukan tuan rumah memperolehi kelebihan menerusi Hadi Fayyadh Abd Razak, mereka gagal memberikan impak pada separuh masa kedua permainan, sekali gus membuka peluang besar buat skuad Sang Saka Biru.

Kemenangan tersebut pastinya cukup bermakna buat finalis edisi lalu tersebut memandangkan mereka bergelut untuk memberi impak pada awal permainan.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan berkenaan diraih selepas mereka sebelum ini mengalami kekalahan kepada skuad Sang Saka Biru dalam aksi Liga Super pada Jun lalu.

365448881_764829242315473_5046276038715575164_n

Skuad Gergasi Merah mempunyai bekalan mencukupi untuk aksi timbal balik Piala Malaysia. Facebook/Selangor FC

Jadi, kemenangan selesa yang diraih tersebut semestinya sukar dilupakan buat penyokong pasukan Lembah Klang itu meskipun mereka perlu beraksi untuk aksi timbal balik pada 19 Ogos.

Berkata kepada Astro Arena selepas perlawanan, ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyifatkan pasukannya sudah mempelajari punca kekalahan kepada PDRM FC untuk memastikan kemenangan mampu dibawa pulang.

"Tempoh hari, kita kalah 0-1 dan sepertimana yang saya beritahu, kita tidak bermain dengan satu pelan permainan yang agresif untuk dapatkan gol dan akhirnya kita tewas.

"Bagaimanapun, perlawanan ini nampak berbeza. Tetapi, pada separuh masa pertama, memang sedikit perlahan pergerakan pasukan," katanya.

Musim lalu, Selangor FC berjaya menempatkan diri dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, namun terpaksa berpuas hati dengan status naib juara selepas tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT).

Oleh itu, terdapat semangat yang lebih membara dalam pasukan itu untuk memenangi pertandingan terbabit pada edisi kali ini, sekali gus menamatkan penantian kira-kira lapan tahun bagi menjulang sekurang-kurangnya satu trofi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram