SAINGAN kejohanan Piala Malaysia 2023 dijadual berlangsung pada Ogos ini melibatkan 16 pasukan layak beraksi yang terdiri daripada 14 pasukan Liga Super dan dua pasukan teratas dari Liga M3.
Aksi pertama Piala Malaysia pada Khamis menyaksikan tiga perlawanan akan berjalan secara serentak melibatkan tiga pasukan tumpuan iaitu Selangor FC, Kedah FC dan KL City FC.
Antara perlawanan yang menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air ialah pertembungan membabitkan pasukan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) menentang kelab terbawah liga, Kelantan FC pada Jumaat.
Rata-rata penyokong menganggap skuad Harimau Selatan dijangka memperoleh kemenangan mudah dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan itu.
Bagaimanapun, peminat tegar ternyata masih menaruh harapan agar The Red Warrior (TRW) dapat melakukan satu perubahan bagi mengelakkan pasukan itu menanggung malu akibat kekalahan besar di tangan JDT nanti.
JDT dijadualkan bertembung Kelantan FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada Jumaat. — Facebook/TRW Kelantan FC
Melihat kepada kualiti TRW yang berada di tangga tercorot ketika ini, terdapat kemungkinan JDT akan menurunkan pemain yang diberikan kurang minit permainan di atas padang.
Di samping untuk memastikan mereka berada dalam keadaan cergas sepanjang musim, pendekatan itu juga dibuat untuk memastikan skuad utama mendapatkan rehat yang cukup bagi menghadapi perlawanan berdepan pasukan lebih mencabar.
Antara pemain yang kemungkinan diberikan peluang ialah Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba.
Sehubungan itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera dilihat perlu memberikan perhatian lebih kepada pemain-pemain tersebut.
Selain itu, terdapat pandangan yang mengatakan, antara langkah boleh dilakukan oleh Kelantan adalah dengan bermain corak permainan bertahan.
"Menang tu macam mustahil, tapi kalau boleh bertahan sampai penalti ada peluang, menang penalti dah macam juara," kata Zulkifli Sulaiman.
"Cuba sekali formasi parking bas pula macam style Jose Maurinho. Tengok (nanti) JDT berpusing-pusing tak untuk cari gol," kata Mohd Fareez.
"Adjust parking bas depan gol," cadang Syazwan Roslan.
Kebanyakan penyokong berharap agar pemain import baharu diturunkan dalam perlawanan menentang skuad Harimau Selatan itu nanti.
Selain itu, ada juga yang mencadangkan agar pemain import baharu diturunkan dalam perlawanan pada Jumaat, yang mana rata-ratanya tidak sabar untuk menyaksikan aksi mereka bersama Kelantan.
Apatah lagi, TRW baru-baru ini membuat pengumuman mengejutkan dengan membawa masuk beberapa bintang import antaranya Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening dan Alie Sesay.
Kehadiran pemain import itu dijangka berupaya membantu pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
"Import baharu ada empat orang, confirm boleh menang," ujar Irwan Alif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram