Khuatir sukar dilepaskan kelab, apa kelebihan jika Leandro jadi naturalisasi?


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Leandro berjaya menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol sekali gus menyaksikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

NAMA pemain import Johor Darul Takzim (JDT), Leandro Velazquez tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia bola sepak tanah air.

Manakan tidak, pemain berasal dari Argentina boleh dikatakan antara nadi serangan utama dalam skuad Harimau Selatan pada ketika ini.

Terbaharu, ada khabar angin yang mengatakan pemain tersebut dikatakan bakal meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Selatan tanah air.

Namun, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menegaskan bahawa arkitek tengah itu akan kekal bersama JDT untuk satu tempoh lagi.

Susulan itu, timbul pula desas-desus yang menyatakan pemain tersebut bakal bertukar status menjadi seorang pemain naturalisasi pada musim hadapan selepas lima tahun beraksi di negara ini.

Jika situasi tersebut menjadi kenyataan, ia sudah semestinya menjadi bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan dan melihat kepada situasi terkini kehadiran pemain berketinggian 1.67 meter (m) berkenaan, ia sudah pasti memberi kelebihan pada JDT dan juga pasukan kebangsaan.

Hal ini kerana, jika melihat kepada rekod Leandro, dia berjaya menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol sekali gus menyaksikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah setakat ini.

Musim ini, Leandro menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol dalam saingan Liga Super buat JDT. — Facebook/JDT

Musim ini, Leandro menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol dalam saingan Liga Super buat JDT. — Facebook/JDT

Malah, Leandro sebelum ini juga adalah sebahagian daripada pemain yang terbabit dalam kempen kejayaan JDT muncul juara Piala AFC 2015, selepas menyaksikan JDT menang 1-0 ke atas Istiklol FC hasil jaringan tunggal Leandro pada perlawanan akhir.

Pada masa sama, jika Leandro menjadi pemain naturalisasi, dia berpeluang menjadi salah seorang pemain Harimau Malaya pada tahun ini sekali gus memantapkan lagi jentera pasukan kebangsaan.

Kehadirannya juga boleh memberikan dimensi baharu buat barisan serangan Harimau Malaya memandangkan pemain yang ada ketika ini akan menjadi lebih baik untuk mengukuhkan tempat mereka dalam pasukan.

Hal tersebut dapat disaksikan di peringkat kelab dengan JDT tidak henti-henti membawa masuk seorang perancang bagi memastikan Leandro keluar daripada zon selesa.

Leandro antara tonggak utama JDT ketika ini. — Facebook/JDT

Leandro antara tonggak utama JDT ketika ini. — Facebook/JDT

Selain itu, Leandro juga tidak perlu gusar dengan keserasiannya bersama pemain lain di atas padang memandangkan kebanyakan pemain Harimau Malaya daripada JDT.

Tetapi apa pula keperluan sebenar pemain tersebut menjadi pemain naturalisasi sedangkan ramai lagi pemain muda yang lain memandangkan faktor umur Leandro yang boleh dikatakan 'kuda tua' untuk pemain bola sepak?

Malah dengan lambakan jentera tengah penyerang dalam skuad Harimau Malaya seperti pemain tempatan, Safawi Rasid, Leandro berkemungkinan mempunyai peluang tipis untuk diserapkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Selain itu, secara tidak langsung perkara tersebut hanya akan memberikan kelebihan tidak munasabah kepada pasukan JDT kerana tidak mustahil Leandro tidak dapat dilepaskan untuk bermain dengan skuad kebangsaan sekiranya Harimau Selatan mempunyai perlawanan penting.

Jika bukan perlawanan penting pun, lihat sahaja situasi yang mana ramai pemain JDT menolak untuk menyertai skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2022 memandangkan kejohanan itu di luar kalendar FIFA.

Hal tersebut menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menggunakan khidmat pemain-pemain kelab lain sehingga pasukan itu mendapat jolokan 'skuad mesin'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram