PENYOKONG Kelantan FC dikejutkan dengan pengumuman Negeri Sembilan FC (NSFC) yang membawa masuk Youssef Ezzejjari di minit-minit terakhir jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada Selasa.
Sebelum ini, The Red Warriors (TRW) mengumumkan beberapa pemain import bakal memperkuat pasukan termasuklah penyerang kelahiran Sepanyol-Maghribi itu.
Pemain berusia 30 tahun itu memiliki pengalaman yang cukup luas di pentas bola sepak Asia Tenggara selepas pernah beraksi dalam Liga Indonesia dan Thailand.
Perkara itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong tentang status sebenar Ezzejjari.
Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berlaku pertukaran saat akhir sekali gus menyaksikan pemain itu akan memperkuat skuad kendalian K. Devan.
Tangkap layar Insta Story Shekoo1989.
Dalam pada itu, seorang individu dipercayai ejen kepada Ezzejjari meminta maaf kepada pihak pengurusan Kelantan atas tindakan bekas penjaring terbanyak Liga Indonesia yang menandatangani kontrak bersama NSFC.
"Saya ingin membuat permohonan maaf kepada pihak pengurusan Kelantan dan penyokong untuk apa yang telah berlaku berkenaan penyerang saya.
"Dia telah menandatangani kontrak dengan Kelantan dua hari lalu (Ahad) dah hari ini (Selasa) dia bersama Negeri Sembilan.
"Perkara yang dilakukan itu tidak boleh diterima," katanya dalam Instagram.
Individu yang menggunakan nama Shekoo1989 itu juga menjelaskan isu tersebut di luar pengetahuan dan kawalannya sebagai ejen pemain tersebut.
TRW juga terlepas untuk mendapatkan khidmat dua lagi pemain import, Jordan Mintah dan Andik Vermansyah yang tidak dapat mencapai persetujuan saat-saat akhir jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram