BEKAS bintang Real Madrid yang kini beraksi bersama Fluminese, Marcelo Vieira diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah susulan daripada terjahan keras ke atas pemain lawan.
Pemain pertahanan Argentinos Junior, Luciano Sanchez mengalami patah kaki selepas dipijak secara tidak sengaja oleh Marcelo yang sedang membawa bola.
Insiden tersebut berlaku apabila Marcelo menggelecek melepasi Sanchez namun dia terpijak kaki kiri mangsa yang menyebabkan keadaannya melengkung patah dan mengerikan.
Sanchez terbaring menahan kesakitan sebelum dikejarkan ke pusat rawatan berdekatan.
Marcelo yang dilihat tidak sengaja melakukan kekasaran itu, menangis selepas insiden tersebut dan akur dengan kad merah yang dilayangkan kepadanya.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 1-1 dan mereka bakal bertemu sekali lagi dalam aksi timbal balik Copa Libertadores pada 9 Ogos ini di Brazil.
Selepas tamat perlawanan, Marcelo memuat naik hantaran di media sosial yang mana dia menyesal dan mendoakan kesihatan Luciano.
"Hari ini, saya mengalami detik yang sukar di atas padang. Saya secara tidak sengaja telah mencederakan rakan saya.
"Saya mendoakan pemulihan yang terbaik buat anda Luciano Sanchez. Saya mendoakan anda untuk terus kuat!" katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram