KELANTAN FC sah mengumumkan kehadiran empat pemain import baharu iaitu Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Alie Sesay dan Ahmed Magdy.
Kehadiran keempat-empat pemain import itu akan membantu pasukan The Red Warriors (TRW) untuk menghadapi baki saingan musim ini.
Dalam situasi seperti itu, tentunya sukar bagi skuad Kijang Merah untuk memperbaiki kedudukan semasa memandangkan baki perlawanan musim ini hampir menutup tirai.
Aliakbar Ahmadi diumumkan sebagai pemain baharu skuad TRW pada Isnin. — Facebook/TRW Kelantan FC
Berada pada kedudukan tercorot Liga Super, pastinya kemasukan pemain import itu merupakan satu peluang untuk TRW mengubah kedudukan yang jauh ketinggalan ekoran hanya mengutip lima mata dalam 18 perlawanan.
Bagaimanapun, menurut pandangan penganalisis sukan, Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail mempunyai pandangan berbeza terhadap kemasukan pemain import ke kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Menurutnya, sebahagian pemain import itu mempunyai nilai pasaran tersendiri yang dijangka membantu melonjakkan nilai kelab Kelantan FC.
Mengikut nilai pasaran kelab-kelab Liga Super di Transfermarkt, Kelantan FC merupakan pasukan yang memiliki nilai paling rendah ketika ini iaitu RM7.08 juta (€1.42m).
Dengan itu, Jamal menyifatkan strategi TRW merekrut pemain-pemain import pada jendela perpindahan kedua adalah sebagai survival pasukan dalam saingan Liga Super.
"Dia (Kelantan FC) kena gamble something supaya masih survive dalam saingan Liga Super.
"Andai kata masih kekal di Liga Super musim depan, kalau nak jual, kelab akan lebih berbaloi," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, Kelantan tidak mempunyai pilihan kerana perbezaan mata dengan pasukan tangga ke-13 tidak jauh beza yang memaksa mereka untuk bersaing dengan kelab lain.
"Kalau pergi M3, memang Kelantan tidak mempunyai peluang kerana nilai pasukan itu akan jatuh, sekiranya Kelantan FC beraksi di Liga M3, sudah pasti tiada yang ingin membeli kelab tersebut.
"Jadi persoalan, kenapa Kelantan mengambil ramai import kerana dia (kelab) takut, pasukan akan jatuh ke Liga M3 musim depan.
"Saya rasa itu adalah tujuan utama kenapa dia mengambil pemain import baharu untuk memastikan agar pasukan itu tidak tercicir dari Liga Super," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada Kelantan mampu membayar gaji pemain import baharu tersebut dalam keadaan kelab sedang bergelut dalam masalah kewangan, Jamal berkata, ia terpulang kepada pihak pengurusan.
"Mampu atau tidak bayar gaji pemain import baharu nanti, hanya Kelantan yang mengetahuinya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram