Bekas jurulatih Perak, Tony Netto meninggal dunia


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Bekas jurulatih Perak FC, Tony Netto.

PENYOKONG bola sepak Perak FC bersedih selepas mendapat berita bekas jurulatih The Bos Gaurus (TBG), Tony Netto yang meninggal dunia pada Rabu.

Khabar sedih itu dikongsikan menerusi laman Twitter @PerakTheYob pada Rabu.

Netto atau nama sebenarnya Antonio Gonzaga Netto merupakan antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah pasukan Perak FC.

Di bawah bimbingan jurulatih Brazil itu, skuad Seladang muncul juara Liga Perdana 1 (sebelum dijenamakan semula sebagai Liga Super) pada tahun 2002 dan 2003.

Selain dua kejuaraan liga, Netto turut membantu TBG menjulang Piala FA (2002) dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (2005).

Sepanjang era Netto menyaksikan Perak FC amat digeruni oleh pihak lawan kerana banyak menggunakan hantaran pendek dan mementingkan penguasaan bola.

Bukan itu sahaja, malah, ramai pemain skuad Seladang ketika itu menjadi tonggak pasukan kebangsaan seperti Indra Putra Mahyuddin, Khalid Jamlus, V. Saravanan dan K. Nanthakumar.

Selain itu, corak permainan yang diamalkan menjadikan Perak FC sukar dikekang ketika itu.

Selain Perak FC, Netto juga pernah seketika mengendalikan pasukan MPPJ Selangor pada 2006.

Sebagai menghargai jasanya mengharumkan nama negeri dan bola sepak Perak, Sultan Perak ketika itu, Almarhum DYMM Sultan Azlan Shah berkenan mengurniakan darjah kehormat Paduka Mahkota Perak pada 2005. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram