'Kes belum selesai', FAM,MFL perlu rujuk FIFA atau berdepan tindakan


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Kelantan FC ketika ini berada di tangga tercorot Liga Super selepas mengharungi 18 perlawanan. — Facebook/TRW Kelantan FC

BARU-BARU ini, dalam satu pengumuman, Kelantan FC sudah membawa masuk sehingga empat pemain import pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Kemasukan import seramai itu dalam kelab The Red Warriors (TRW) yang bergelut dengan pelbagai isu, menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong memandangkan skuad Kijang Merah itu pernah dikenakan sekatan perpindahan pemain.

Sebelum ini, Kelantan FC dikenakan sekatan pemain ekoran isu tunggakan gaji yang melibatkan beberapa pemain.

Namun, di sebalik masalah yang timbul, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah mengumumkan bahawa sekatan perpindahan pemain terhadap kelab Kelantan FC telah ditarik balik.

Keputusan itu dibuat selepas Kelantan FC dilapor berjaya menyelesaikan isu dalaman yang berkait dengan pemain dan jurulatih.

denis

Buschening diumumkan sebagai pemain baharu skuad TRW pada Isnin. Facebook/TRW Kelantan FC

Begitupun, hal terbabit tetap menjadi persoalan sama ada MFL memaklumkan perkara tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang merupakan pengendali badan tertinggi dalam bola sepak dunia.

Penganalisis sukan, Datuk Jamal Nasir Abdul Ismail turut mempunyai pandangan sama mengenai perkara tersebut dengan mengatakan bahawa Kelantan FC berada dalam situasi sukar kerana tidak diketahui statusnya ketika ini di peringkat FIFA.

Menurutnya, sepatutnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL perlu merujuk FIFA terlebih dahulu sama ada Kelantan masih ada kes yang belum diselesaikan di peringkat FIFA.

Ini termasuklah kes bekas jurulatih TRW, Choi Moon-sik dan bekas penyerang Kijang Merah, Kervens Belfort yang pernah dibawa ke FIFA.

"Sepatutnya kalau nak ambil pemain import dan jurulatih luar negara perlu rujuk FIFA.

"Kalau FIFA sudah buat satu keputusan yang sahih, FAM/MFL kena ikut dan sepatutnya sebelum Kelantan FC ambil pemain import, FAM kena rujuk kepada FIFA sama ada kes pasukan Kelantan di FIFA berjalan atau tidak," katanya kepada Majoriti.

Berikutan perkara itu, walaupun sekatan perpindahan pemain Kelantan sudah ditarik balik oleh FAM dan MFL namun kes-kes yang melibatkan Kelantan FC di peringkat FIFA dilaporkan masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, kes pasukan Kelantan FC di peringkat FIFA masih tidak diketahui kerana belum ada pengesahan daripada badan tertinggi bola sepak dunia itu.

Tambah Jamal lagi, jika FAM/MFL melangkaui keputusan dan tidak merujuk hal tersebut kepada FIFA, badan induk itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kalau FAM tak tanya perkara tersebut dan FIFA sudah buat keputusan muktamad setelah Kelantan mengambil pemain import, maknanya FAM sudah bersalah dalam hal tersebut sebab tak rujuk.

"Kalau masih ada kes dan tengah berjalan dalam siasatan better hold daripada ambil pemain supaya mengelakkan kejadian tersebut.

"Ini kerana, kemungkinan besar, pemain-pemain yang sudah ditandatangani itu terpaksa diberhentikan serta merta sebab FIFA kenakan sekatan.

"Maknanya FAM dan MFL kena refer (rujuk) balik dengan FIFA jika ada kes yang tidak lagi diajukan kepada FIFA tentang Kelantan FC, kalau tiada kes kemudian boleh teruskan dengan mengambil import baharu," kongsinya.

Sebelum ini juga, bekas import TRW, Nuha Marong mendakwa Kelantan FC berbohong kepada FIFA berhubung penamatan kontrak pemain.

Kelab terbabit juga didakwa menipu kepada semua pihak termasuk FIFA apabila menyatakan penamatan kontrak awal pemain dibuat atas persetujuan bersama, namun hakikatnya ia tidak benar.

TRW berdepan pelbagai isu dalaman termasuk kelewatan pembayaran gaji kepada setiap pemain, malah turut menahan gaji pemain yang gagal menyerlah dalam pasukan.

Bukan itu sahaja, malah, kelab terbabit dipalit kontroversi ekoran isu pemecatan Moon-sik hingga kes berkenaan diheret ke FIFA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram