
UJIAN besar menanti Perak FC apabila mereka bakal berdepan pasukan gergasi Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan pertama Piala Malaysia pada Khamis.
Meskipun sudah melakukan rekrut secara besar-besaran sepanjang jendela perpindahan yang lalu, skuad The Bos Gaurus (TBG) seperti masih belum menemui rentak terbaik di atas padang.
Dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, mereka hanya meraih empat mata, sekali gus merencatkan harapan untuk mendaki carta liga.
Jika hendak dibandingkan dengan skuad Sang Kenari pula, pasukan yang ketika ini berada di tangga ketiga hanya merekodkan satu kekalahan dalam lima perlawanan.
Oleh itu, kelebihan pastinya memihak kepada anak-anak buah Nafuzi Zain yang semakin dahaga untuk menamatkan penantian menjulang Piala Malaysia.
Perak FC tewas dengan keputusan 0-3 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, Perak FC dijangka tidak akan mengibarkan bendera putih terlalu awal memandangkan perlawanan pertama akan diadakan di tempat sendiri.
Walaupun pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan KDA FC menang dengan keputusan 4-1, skuad TBG dilihat lebih bersedia.
Malah, penyokong juga seakan-akan sudah tidak dapat menahan keghairahan untuk menonton perlawanan itu dengan perbincangan hangat terus membanjiri media sosial.
Antara yang tidak mahu ketinggalan ialah seorang peminat tegar kelab, Faidhiarif Khairul yang seperti tergolong dalam sebuah kumpulan penyokong baharu, The Clappers.
Mereka sebelum ini ditubuhkan bertujuan untuk menghangatkan lagi suasana setiap kali skuad TBG beraksi meskipun kumpulan ultras, The Supporters lebih sinonim dengan Perak FC.
Kumpulan penyokong The Supporters lebih sinonim dengan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
"TBG The Clappers hanyalah peminat yang hadir seperti biasa dan kumpul bersama, tetapi memberi tepukan kepada pasukan ketika pasukan menjaringkan gol, menangkis serangan lawan, penukaran pemain dan memberi penghormatan ketika permainan bermula dan berakhir.
"Segala tepukan akan diberi isyarat oleh kepala-kepala yang berada dihadapan memakai topi hijau, hitam atau kuning. Ini bertujuan untuk memupuk semangat sesama penyokong dan menunjukkan kita ada ketika pasukan dalam keadaan susah mahupun senang," tulisnya.
Sebelum ini, terdapat perbincangan hangat mengenai The Clappers dalam kalangan penyokong Perak FC memandangkan kehadiran kumpulan terbabit seakan-akan melanggar kumpulan penyokong yang lebih lama bertapak.
Tetapi, dengan kesemua pengikut setia pasukan mempunyai visi sama setiap kali turun ke stadium, perbezaan berkenaan mudah dilupakan, lebih-lebih lagi dengan skuad TBG terus mengharapkan sorakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram