'Elak kes 1992 berulang', fans Liga M bersolidariti demi Ramon Marcote


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Marcote disahkan FAM bahawa dia adalah pembantu jurulatih yang dikasari ketika aksi Piala FA Jun lepas. — Facebook/Selangor FC

DUNIA bola sepak tanah air terus memberi kejutan demi kejutan kepada penyokongnya.

Terbaru, berita seorang jurulatih menjadi mangsa belasahan dalam satu aksi Liga Malaysia (Liga M) pula menjadi topik utama.

Selepas pelbagai nama dipetik, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengesahkan bahawa penolong jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote adalah individu yang dipukul ketika aksi separuh akhir Piala FA pada Jun lalu.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang memaklumkan badan induk itu menerima aduan daripada SFC pada 25 Julai lalu namun kes terbabit akan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib bagi tindakan selanjutnya.

Walaupun belum ada sebarang laporan mengenai pelaku dalam kejadian malang menimpa bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC namun sumber mengatakan individu tersebut ialah bekas pemain sebuah pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur dan Selatan tanah air selain enam kali mewakili skuad kebangsaan.

Susulan kejadian menimpa Marcote, penyokong Gergasi Merah dan kelab-kelab lain bersolidariti demi penolong Tan Cheng Hoe itu dan berharap ia tidak berlaku kepada mana-mana pihak lagi mahupun jurulatih pemain dan pengurusan.

“Solidariti untuk Ramon Marcote. Dibelasah untuk sebuah aktiviti yang sepatutnya tidak berlaku di peringkat pemain, jurulatih dan pengurusan. Kalau peringkat penyokong kita fahamlah kefanatikan mereka pada pasukan.

“Semoga kejadian pada tahun 1992 di mana seorang jurulatih sukan dibelasah yang menyebabkan isu besar dalam sejarah sukan dan kenegaraan kita tidak berulang lagi. Khabarnya Ramon sudah membuat laporan polis, laporan FAM dan akan membawa isu kepada FIFA,” tulis laman penyokong Gergasi Merah, Selangor Fanatik Official.

Hasil carian Majoriti berhubung kes 1992 menemukan berita tentang seorang jurulatih hoki yang bernama Douglas Gomez pernah membuat laporan polis selepas mendakwa dikasari oleh bekas Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar.

WhatsApp Image 2023-08-02 at 18.12.55

Laporan berita ketika 1992.

Kejadian tersebut difahamkan berlaku apabila Gomez menzahirkan kecewaanya terhadap tindakan Sultan Iskandar yang memberi tekanan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Johor supaya mengarahkan semua pasukan hoki sekolah di negeri itu supaya memulaukan kejohanan kebangsaan.

Sebelum dibawa ke istana, Gomez dikatakan membidas Jabatan Pendidikan Johor serta menuntut peletakan jawatan semua ahli jawatankuasa dalam Persatuan Hoki Johor.

Tindakan Sultan Iskandar itu dibuat selepas Persekutuan Hoki Malaysia menghukum putera kedua Tunku Abdul Majid dengan menggantungnya daripada bermain selama lima tahun kerana memukul penjaga gol pasukan hoki Perak susulan pasukan Johor ditewaskan dalam satu perlawanan.

Peristiwa berkenaan pastinya sukar dilupakan peminat sukan tanah air apabila anak kepada Gomez pernah membangkitkan momen tersebut pada 2016 yang mana menyaksikan ayahnya pulang dalam keadaan cedera.

“Saya masih ingat bagaimana ayah saya, seorang guru dan jurulatih pasukan hoki sekolah, dibawa ke istana. Saya masih ingat matanya yang lebam setelah pulang ke rumah.

“Saya masih ingat ceritanya tentang apa yang berlaku di istana; dan milik siapa tangan yang menyebabkan lebam itu,” katanya menerusi hantaran Facebook pada 2016.

Kenyataan itu dibuat sebagai jawapan kepada perkongsian TMJ yang mengatakan bahawa baginda masih mengingati sejarah hitam pada tahun 1992 itu yang mana ia berlaku semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak akan lupa krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya telah dilayan oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan.

“Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, ahli Exco Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR telah diberitahu untuk tidak membaikpulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-Istana Johor.

“Malah bonda saya juga ditahan oleh kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab,” katanya dalam posting di Facebook pada tujuh tahun lepas.

Menurut pemilik Johor Darul Takzim (JDT) itu, beliau yang berumur lapan tahun ketika sesi khas parlimen diadakan pada Disember 1992 itu menyaksikan usul bagi menyekat kuasa atau kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tunku Ismail berkata, episod 1992 itu adalah perkara lama tetapi menambah bahawa ‘ALLAH Maha Besar dan hukum karma adalah suatu perkara yang indah'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram