'Saya bukan ahli sihir', 3 jenis kontrak pernah sukarkan Sathianathan pertahankan jurulatih tempatan


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Sathianathan pernah mengendalikan pasukan Selangor FC.

KELEMAHAN dalam jenis dan terma kontrak yang ditawarkan kepada jurulatih menyukarkan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mendapatkan keadilan kepada jurulatih yang berdepan masalah pembayaran gaji dan pampasan.

Menurut laporan The Star bertarikh 2 Ogos 2020, mendiang B. Sathianathan pernah menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan hak ahli-ahli PJBM jika kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tidak memperincikan terma dengan jelas yang mana terdapat tiga jenis kontrak digunakan di Malaysia.

Sathianathan ketika itu berkata, pertamanya, seseorang jurulatih itu diberikan surat tawaran yang hanya sehalaman untuk membimbing pasukan, tetapi tidak mempunyai butiran yang jelas, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai kontrak.

"Ia berlaku apabila seseorang jurulatih itu terutamanya baharu atau muda, mempunyai pekerjaan lain dan mengambil cuti tanpa gaji atau tanpa rekod untuk mencuba nasib dalam bidang kejurulatihan.

"Keduanya, ada persatuan yang meletakkan syarat ‘selepas berakhirnya pertandingan, maka kontrak dibatalkan’. Jadi apabila sesuatu pertandingan dibatalkan, maka kontrak itu terbatal.

"Ketiga adalah kontrak yang paling wajar, di mana pasukan dan jurulatih tandatangan untuk sesuatu tempoh, seperti sehingga November 2020. Ini baru kita boleh perjuangkan,” katanya.

Pasukan terakhir yang dibimbing Sathia ialah Sarawak United.

Sathianathan turut menggesa jurulatih yang masih belum menerima gaji atau pampasan yang sewajarnya daripada pasukan masing-masing supaya tampil melaporkan perkara itu kepada PJBM.

"Saya atau PJBM bukan ahli sihir untuk mengetahui bahawa kamu teraniaya jika tidak dilaporkan. Kalau seseorang jurulatih itu cakap belakang sahaja, kita tak tahu.

"Kalau mereka takut dengan kebajikan, takut diambil tindakan, jangan jadi jurulatih.

"Kita ini ada kontrak, kena memperjuangkan hak kita. Jangan takut nanti tidak dapat kerja lain, persatuan tidak akan ambil bekerja.

"Ini kerja kamu, tiada yang datang secara percuma,” katanya.

Dalam perjuangannya membela nasib jurulatih-jurulatih bola sepak di Malaysia, Sathianathan juga menjadi mangsa apabila Sarawak United dipercayai masih belum menjelaskan tunggakan gajinya selama berkhidmat untuk pasukan itu.

Sathianathan menghembuskan nafas terakhirnya pada 18 Julai lalu selepas mengalami sakit kronik.

Musim lalu, jurulatih berpengalaman itu terpaksa berehat seketika daripada bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan.

Sathianathan yang terkenal sebagai pengkritik yang selalu mengeluarkan kenyataan pedas dan kontroversi pernah mengendalikan beberapa pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Kelantan dan juga Sarawak United.

Dia turut pernah mengendali pasukan kebangsaan bawah 23 tahun dan juga Harimau Malaya pada 2009. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram