[VIDEO] Umar Osman pecah rekod kebangsaan kurang 24 jam, layak acara final 400m Universiade


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Umar berjaya mencatat masa 46.09s pada saringan separuh akhir tiga Sukan Universiade di Chengdu pada Rabu.

ATLET olahraga muda negara, Umar Osman ternyata berada di kelas tersendiri selepas berjaya memecahkan rekod 400 meter (m) kebangsaan buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam.

Umar yang berusia 20 tahun mencatat masa 46.09 saat (s) pada saringan separuh akhir tiga Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Rabu.

Pada Selasa, Umar berjaya memperbaiki catatan peribadinya dalam saingan 400m dengan mencatat kepantasan 46.33s pada peringkat saringan Universiade 2023.

Catatan masa di Stadium Shuangliu itu membolehkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu memecahkan rekod yang baru diciptanya dalam tempoh kurang 24 jam.

Catatan masa itu 0.01s lebih pantas daripada yang dilakukan ketika memenangi pingat emas dalam Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja Mei lalu.

Ia secara tidak langsung melayakkan Umar ke pentas final dalam misi menaiki podium pada perlumbaan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Khamis.

Secara keseluruhan, ini adalah rekod kebangsaan ketiga dilakukan Umar tahun ini selepas kali pertama melakukannya dengan masa 46.34s, memadam catatan lama 46.41 milik Mohd. Zaiful Zainal Abidin pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram