SELEPAS mengumumkan J. Partiban sebagai pemain baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pihak pengurusan tidak menunggu lama untuk membawa masuk seorang lagi pemain bagi memperkuatkan pasukan menjelang baki saingan liga dan Piala Malaysia 2023.
Halim Saari secara rasminya kembali menyertai skuad Sang Kenari selepas disisihkan selama hampir dua musim berikutan kecederaan lutut (ACL) yang dialaminya ketika bersama Selangor.
Pemain berusia 29 tahun itu pernah berkhidmat bersama Kedah sebelum memilih untuk menyertai Selangor pada musim 2019.
KDA FC dalam satu kenyataan mengatakan kehadiran Halim akan menambah rencah serangan jentera Hijau Kuning serta bersetuju untuk memberikan tawaran kontrak bagi baki saingan Liga Malaysia 2023.
"Pemain yang pernah dibawah pasukan muda Kedah suatu masa dahulu antara prospek pemain tengah yang mampu kembali menambah rencah jentera KDA FC.
"Dirundung kecederaan sebelum ini, tempoh dia kembali cergas digunakan sebaiknya awal musim ini dan Nafuzi Zain serta barisan kejurulatihan memberikan kepercayaan berdasarkan pengalaman yang ada.
"KDA FC bersetuju menawarkan kontrak buat Halim bagi baki saingan Liga Malaysia 2023 dan prestasi semasanya akan menjadi ukuran untuk memenuhi terma kontrak melalui prestasi yang dipamerkan, panggilan dalam senarai setiap perlawanan dan sudah pasti minit perlawanan bersama Sang Kenari," katanya.
Halim sah kembali menyertai KDA FC. — Facebook/KDA FC
Dengan ketiadaan Lee Andrew Tuck yang meninggalkan pasukan, Halim dijangka bakal menjadi pengganti terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain naturalisasi itu.
Penyokong turut menyambut kepulangan Halim dengan gembira apabila ada yang melabelkannya antara pemain tengah terbaik pernah dibentuk Kedah dalam Liga Malaysia.
"Kalau boleh terus kekal sampai bersara di Kedah Halim, tak perlu pergi mana-mana dah, sama-sama bantu pelapis muda Sang Kenari nanti," kata Airis Sam.
"Bagus pemain ini, tenang sahaja. Semoga semakin mantap dan hebat serta dijauhkan dari kecederaan," ujar Mat Adie.
"Antara jeneral tengah padang yang Kedah ada dulu," jelas Own Apex.
"Satu langkah yang bijak, Halim antara pemain lokal tengah yang baik dalam sejarah Liga M," luah Zaid Iqhwan.
Kepercayaan yang diberikan oleh Nafuzi Zain juga menjadi kunci buatnya kembali memperkuatkan jentera serangan Kedah yang kehilangan khidmat pemain tengah berpengalaman, Lee Tuck yang memilih haluan baharu.
Kedah ketika ini berada pada kedudukan ketiga Liga Super dengan 37 mata selepas 18 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram