SEORANG pembantu jurulatih Selangor FC dipercayai dipukul oleh bekas pemain kebangsaan selepas tamat perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor baru-baru ini.
Berdasarkan posting yang dimuat naik oleh laman Instagram Palatao Bola, dipercayai pembantu jurulatih Selangor itu ialah Ramon Marcote.
Manakala menurut laporan Harian Metro, Marcote difahamkan telah diserang oleh bekas pemain yang pernah menyertai kelab dari Pantai Timur dan Selatan tanah air itu.
Pembantu jurulatih Selangor FC itu difahamkan sudah membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan susulan.
Untuk rekod, individu yang memukul penolong jurulatih itu kini tidak lagi beraksi untuk mana-mana pasukan di Liga Super namun aktif terbabit dengan beberapa urusan dalam saingan bola sepak tempatan.
Posting yang dimuat naik oleh Palatao Bola. — Instagram
Marcote musim ini menyertai Selangor FC bagi membantu Tan Cheng Hoe mencapai impian skuad Gergasi Merah bersaing di Piala AFC tahun depan.
Jurulatih berusia 46 tahun itu pernah mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman serta membantu Cheng Hoe menjuarai Liga Perdana 2015 serta Piala Malaysia 2016
Majoriti sedang menghubungi Marcote untuk mendapatkan maklum balas berkaitan posting itu, namun masih belum menerima apa-apa jawapan dari jurulatih kelahiran Sepanyol itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram