Liga Thailand iktiraf duo Harimau Malaya 'first 11' terbaik kuota Asean


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Pemain-pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan ke atas Bangladesh dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

PENYOKONG Harimau Malaya pastinya berbangga selepas Revo Thai League mengiktiraf dua bintang skuad kebangsaan sebagai kesebelasan terbaik Asean sejak kuota itu diperkenalkan pada 2020.

Menerusi laman rasmi media sosial Revo Thai League, badan penganjur itu menyenaraikan Dion Cools dan Safawi Rasid antara bintang terbaik daripada negara ini.

Selain dua tonggak utama skuad senior Malaysia itu, Irfan dan Ikhsan Fandi (Singapura) serta Faiq Bolkiah turut tersenarai dalam barisan bintang Asean tersebut.

Manakala hanya seorang pemain Indonesia, Irfan Bachdim yang tersenarai dalam kesebelasan utama yang diumumkan itu.

Cools antara bintang yang paling berjaya musim ini selepas membantu Buriram United menjuarai kejuaraan 'treble' selepas membantu pasukannya merangkul Piala Liga Thai dan Piala FA.

Safawi pula berjaya mencuri perhatian penyokong Ratchaburi FC dengan aksi teknikalnya bila beroperasi sebagai pemain sayap pasukan selama enam bulan di negara itu.

Kesebelasan terbaik pemain Asean di Liga Thailand. Instagram/Revo Thai League

Walaupun bekas pemain sayap Portimonense S.C. itu sudah kembali bersama Johor Darul Takzim (JDT) FC, bakat Safawi sentiasa diingati ramai penyokong di Thailand.

Selain Safawi dan Cools seramai empat pemain dari Malaysia turut mewarnai Liga Thailand pada musim lalu iaitu Junior Eldstal (PT Prachuap), Zafuan Azeman (Uthai Thani), Stuart Wark (Kasetsart FC) serta Liridon Krasniqi (Khon Kaen United).

Nama Cools dijangka menjadi tumpuan selepas Buriram pastinya mahu mempertahankan pencapaian 'treble' yang diraih musim lepas.

Musim baharu Liga Thailand dijangka bermula pada 11 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram