"Selamat datang', J Partiban sah milik Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Pemain sayap, KL City FC, J. Partiban. — Instagram/jpartiban16

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan khabar gembira selepas pemain sayap Kuala Lumpur (KL) City FC, J. Partiban sudah mengesahkan beraksi bersama pasukan itu.

Partiban menyarung jersi Hijau Kuning sebagai pemain pinjaman untuk membantu Sang Kenari menghadapi baki saingan liga musim ini.

Pemain berusia 30 tahun itu berkebolehan untuk diturunkan dalam tiga posisi berlainan sama ada di kiri ataupun kanan sayap serta tengah menyerang di bahagian kiri.

Berketinggian 1.75 meter, J. Partiban merupakan pemain kidal yang memiliki sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menjadi senjata Sang Kenari.

WhatsApp Image 2023-08-01 at 13.53.37

Tangkap layar hantaran tersebut di Instagram. — Instagram/klcityfootball

Meskipun sekadar memiliki lima penampilan keseluruhan bersama KL City, keupayaan pemain itu diyakini mampu dibuktikan sekiranya peluang diberikan kepadanya khususnya minit permainan yang lebih.

Untuk rekod, Partiban mencatatkan satu gol dalam lima penampilan Liga Super 2023.

Sebelum ini, KDA FC mengumumkan bahawa pemain naturalisasi, Lee Andrew Tuck mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada kelab tersebut.

Selain itu, pasukan Utara tanah air itu turut kehilangan pemain sayap Al Hafiz Harun yang menyertai Penang FC sebagai pemain pinjaman untuk musim ini.

Berikutan perkara itu, Kedah dilaporkan giat untuk cuba mendapatkan beberapa pemain tempatan baharu yang berkualiti untuk memperkukuhkan kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram