Tiga mata lebih penting daripada banyak gol — Kim Swee


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Aksi barisan pemain Sang Badak meraikan kemenangan ke atas Harimau Kumbang dalam aksi Liga Super. — Facebook/ MFL

PASUKAN Sabah FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas bergelut untuk memperoleh kemenangan ketika menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Persembahan yang ditampilkan oleh Sang Badak cukup mengecewakan penyokong setia The Rhinos kerana berasakan pasukan mereka itu boleh mencetak lebih banyak jaringan namun Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak merungut mengenai perkara tersebut.

Pasukan pelawat mendahului pada minit kesembilan menerusi jaringan Irfan Fazail dan menggandakan jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama menerusi penyerang Brazil, Ramon Machado de Macedo, yang kini sudah menjaringkan empat gol sejak tiba pada Jun lalu di Negeri Bawah Bayu itu.

Walaupun ketinggalan jaringan pada babak pertama, kehadiran pemain gantian Alif Ikmalrizal Anuar merapatkan jurang selepas menjaringkan gol pada minit ke-76 tetapi gagal menyelamatkan Penang FC yang berakhir dengan keputusan 1-2.

Sabah berada di tangga kelima dengan 36 mata daripada 19 perlawanan manakala Penang FC jatuh ke tangga ke-10 dengan 19 mata.

Sabah mencatatkan kemenangan besar 5-2 ke atas Penang FC dalam pertemuan liga pertama mereka pada Mac di Stadium Likas, Kota Kinabalu tetapi bagi Kim Swee, tiga mata yang penting dan bukannya jumlah gol.

“Mendapat tiga mata adalah lebih penting daripada apa yang saya fikirkan tentang berapa banyak gol yang kami jaringkan.

“Saya tidak kisah tentang banyak gol, lebih-lebih lagi kami bermain di tempat lawan. Tidak mudah bermain di tempat lawan menentang mana-mana pasukan.

“Anak buah saya bermain dengan agak baik pada separuh masa pertama tetapi rasa puas hati menyelinap selepas itu.

“Perkara seperti ini tidak boleh berlaku lagi di mana kami bermain di tempat lawan. Apabila pasukan lawan mendapat gol pertama, ia memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah untuk kembali gagah.

“Bagaimanapun, kami dapat mengekang asakan Penang FC dan berjaya mempertahankan gawang kami sehingga minit akhir,” kata Kim Swee.

Kemenangan itu akan meningkatkan usaha mereka untuk terus maju, terutamanya dengan tiga perlawanan sukar di hadapan mereka.

Sabah akan menentang Kuching City di Sarawak pada 5 Ogos dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia dan kemudian menentang pendahulu semasa Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super empat hari kemudian.

The Rhinos turut berdepan naib juara Piala FA, Kuala Lumpur City FC pada 13 Ogos.

“Kami bermain dua perlawanan di tempat lawan (menentang Selangor dan Penang FC) dan melakukan perjalanan yang agak banyak, jadi saya perlu melihat kepada faktor keletihan dan kecergasan pemain.

“Penting bagi saya untuk menyenaraikan pemain yang cergas kerana kita tahu bermain di Kuching bukanlah sesuatu yang mudah. Kami mahu berada di landasan yang betul,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram