SEJAK kebelakangan ini, pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sering mencuri tumpuan selepas mengejutkan penyokong bola sepak tanah air dengan pemergian pemain tengah, Lee Andrew Tuck pada Rabu minggu lalu.
Tonggak utama skuad Sang Kenari itu mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak lebih awal selepas mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan kelab tersebut.
Sepanjang separuh musim di kelab terbabit, pemain naturalisasi negara itu menjaringkan lima gol di samping mencipta tujuh bantuan jaringan.
Tidak cukup dengan itu, teka-teki mengenai pengganti buat pemain berusia 35 tahun itu turut hangat diperdebatkan memasuki hari-hari terakhir jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M).
Sebelum ini, beberapa pemain dari Lembah Klang pernah dikaitkan ke KDA FC yang dilihat sesuai untuk menggantikan posisi bekas tonggak Sang Kenari itu.
Bukan sahaja dari Lembah Klang malah dua lagi nama penyerang muda tanah air, Harimau Malaya terus terkait dengan perpindahan tersebut.
Dua pemain yang dikhabarkan bakal dibawa masuk ke skuad Sang Kenari ialah penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad dan pemain sayap kiri Negeri Sembilan FC (NSFC), Shahrel Fikri.
Pemain sayap kiri skuad Jang, Shahrel Fikri.
Pemain muda kebangsaan, Shahrel Fikri dianggap sesuai untuk menggantikan posisi kosong itu kerana mampu membantu mempertajamkan lagi bahagian serangan KDA FC yang musim ini kelihatan kurang berbisa berikutan hanya menjaringkan 35 gol dalam 18 perlawanan.
Jumlah tersebut mempunyai jurang besar jika dibandingkan dengan pendahulu liga, JDT yang berjaya menjaringkan 69 gol.
Shahrel Fikri atau mesra dengan panggilan Eky dijangka mampu memperkuat bahagian serangan kerana corak permainannya yang agresif dilihat mampu membuahkan hasil dan dia berjaya menjaringkan lima gol dalam 12 perlawanan dia diturunkan.
Pemain berketinggian 1.80 meter itu mempunyai 794 minit permainan sepanjang beraksi di Liga-M musim ini selain posisi yang sesuai turut menjadi sebab pemain berusia 28 tahun itu boleh menggantikan Lee Tuck.
Penyerang Harimau Selatan, Syafiq Ahmad.
Selain itu, nama Syafiq pula sudah pun sinonim dengan Kedah, kerana pernah mencipta nama bersama pasukan tersebut pada awal penampilannya sebelum berjaya meraih pelbagai kejuaraan bersama JDT.
Tampil dengan posisi penyerang, Syafiq salah satu tonggak didakwa boleh mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan oleh Lee Tuck walaupun hanya meraih 39 minit permainan di JDT musim ini.
Kelebihannya ketika beraksi bersama KDA FC merupakan peluang untuk pemain berketinggian 1.75 meter kembali menyinar selepas pernah meledak enam gol untuk pasukan Kedah FC dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim lepas.
Bukan sahaja dari segi menjaringkan gol, pemain berasal dari Pulau Pinang itu juga mampu memberi assist kepada rakan sepasukan dengan hantaran-hantaran yang sukar dibaca oleh pihak lawan.
Musim lepas Syafiq berjaya memberi enam hantaran bantuan bersama Kedah FC.
Kehadiran Syafiq pastinya akan menarik perhatian ramai penyokong Sang Kenari yang rata-ratanya masih merindui aksi pemain itu di atas padang seperti awal tahun lalu dia dipinjamkan seketika buat Kedah.
Oleh itu, terdapat kemungkinan KDA FC bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran seorang anak jati tempatan memandangkan kouta import sudah dipenuhi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram