Boleh atau tidak Haqimi Azim terbang tinggi bersama Sang Kenari?


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Haqimi ketika beraksi bersama Harimau Malaya. — Instagram/qimirosli

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan pemain sayapnya, Al Hafiz Harun secara rasmi akan dipinjamkan kepada Penang FC pada baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Perkembangan itu diumumkan media rasmi Sang Kenari sekali gus menutup spekulasi yang bertiup kencang berhubung masa depan pemain kelahiran Sik berusia 28 tahun itu.

Untuk mengisi kekosongan ditinggalkan tersebut, ketika ini Kedah dilaporkan giat untuk cuba mendapatkan beberapa pemain tempatan baharu yang berkualiti untuk memperkukuhkan kelab.

Sebelum ini, empat pemain dari Lembah Klang dan dua nama penyerang muda tanah air, Harimau Malaya terus terkait dengan perpindahan tersebut ke Sang Kenari.

WhatsApp Image 2023-07-31 at 22.39.34 (1)

Penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli. — Instagram/qimirosli

Bagaimanapun, nama penyerang muda Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Muhammad Haqimi Azim Rosli turut menjadi salah satu nama yang disebut-sebut untuk menyertai kelab tersebut.

Oleh itu, terdapat kelebihan dan kekurangan sekiranya Haqimi dibawa masuk ke skuad Sang Kenari.

Berikut Majoriti menyenaraikan pro dan kontra jika Haqimi beraksi di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Pro

1) Bermain posisi yang sama

Beraksi di posisi sayap, Haqimi dilihat sebagai seorang pemain yang sesuai untuk menggantikan Al Hafiz yang berhijrah ke Penang FC sebagai pinjaman.

Sejak pemergian Al Hafiz ke Harimau Kumbang, Kedah kini hanya memiliki seorang penyerang sayap kiri iaitu Fayadh Zulkifli. Oleh sebab itu dengan kehadiran Haqimi, Nafuzi mampu menampung posisi tersebut.

2) Ada pengalaman beraksi bersama skuad negara

Bukan sahaja mempunyai posisi yang sama malah Haqimi memiliki kelebihan kerana memperoleh pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bersama Harimau Malaya.

Antara detik diingati pastinya ketika Haqimi meledak salah satu gol tercantik buat Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

3) Berpotensi jadi 'target man'

Selain beraksi di posisi sayap, Haqimi boleh bermain sebagai pemain penyerang dengan fungsinya diletakkan untuk 'target man' berdasarkan fizikal iaitu ketinggiannya.

Dengan kepelbagaian posisi Haqimi, Nafuzi mempunyai lebih banyak pilihan untuk meletakkan pemain di bahagian serangan selain Ifedayo Olusegun dan Jonathan Balotelli.

Kontra

1) Bukan 'big name'

Pastinya Haqimi bukannya pemain yang memiliki nama besar seperti penyerang Paulo Josue yang juga dikaitkan ke Kedah.

Ini kerana, sudah pasti Kedah menginginkan pemain yang dijangka mampu membantu pasukan itu berada pada kedudukan ketiga terbaik Liga Super 2023 dan menempah slot ke Piala AFC.

2) Masih muda dan kurang pengalaman

Berbeza dengan nama pemain yang lain, Haqimi dilihat masih muda dan kurang pengalaman untuk beraksi bersama pasukan Kedah.

Kekurangan itu pastinya akan menyukarkan pihak pengurusan KDA FC sama ada ingin mendapatkan khidmatnya atau tidak.

3) Persaingan sengit

Bukan sahaja tidak mempunyai pengalaman yang cukup malah pemain muda itu dilihat perlu bersaing dengan tonggak utama KDA FC, Ifedayo dan Manuel Hidalgo yang menjadi pilihan utama Nafuzi Zain.

Persaingan itu pasti sukar kerana Haqimi belum mencetak sebarang jaringan untuk musim ini jika dibandingkan dengan tonggak KDA FC tersebut.

Oleh itu, kemungkinan Haqimi hanya akan memanaskan bangku simpanan berikutan persaingan sengit tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram