Penang bakal kempunan, skuad Jang jadi pilihan utama pemain sayap Selangor


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Htet Aung (kiri) dilaporkan akan berpindah dengan status pinjaman ke mana-mana pasukan Liga Super. — Facebook/Selangor FC

KETIKA ini, Selangor FC sudah memiliki 10 pemain import yang mana sudah melebihi kuota ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk musim ini.

Perkara berkenaan berlaku berikutan kehadiran penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye serta bek tengah dari Singapura, Safuwan Baharudin yang tiba sepanjang jendela perpindahan kedua Liga Super.

Situasi tersebut pastinya akan mendesak pihak pengurusan untuk menggugurkan salah seorang pemain mereka supaya ia tidak mengganggu proses pendaftaran.

Berdasarkan khabar angin, antara nama yang disebut-sebut sebagai 'mangsa' atas penyingkiran itu ialah penyerang sayap muda, Hein Htet Aung.

Di samping kerap memanaskan bangku simpanan, pemain antarabangsa Myanmar terbabit seperti tidak menggunakan peluang setiap kali berada di atas padang.

Berdasarkan statistiknya setakat separuh musim, penyerang berusia 21 tahun berkenaan hanya mencipta dua bantuan gol tanpa sebarang jaringan peribadi dalam 12 penampilannya.

338401617_3571963943124311_7778045152820216724_n

Htet Aung (kiri) jarang diberikan peluang bersama skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

Ura-ura tersebut dikuatkan lagi dengan ciapan wartawan sukan terkenal tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang melaporkan terdapat dua pasukan yang berminat dengan khidmat pemain berkenaan.

"Pemain import Selangor, Hein Htet Aung bakal dilepaskan ke pasukan lain secara pinjaman.

"Negeri Sembilan dan Penang difahamkan berminat mendapatkan pemain kebangsaan Myanmar, namun difahamkan skuad Jang paling hampir untuk menandatangani Htet Aung," tulisnya.

Penghijrahannya ke Negeri Sembilan FC dilihat lebih relevan memandangkan skuad Harimau Kumbang sudahpun diperkuatkan dengan kehadiran dua penyerang sayap baharu, Al-Hafiz Harun dan Kogileswaran Raj.

Setakat ini, skuad Jang hanya memiliki R Barathkumar dan Sean Selvaraj yang kerap diletakkan dalam kesebelasan utama, namun masing-masing masih belum memberikan sumbangan terbaik.

Kehadiran Htet Aung dijangka akan membawa perubahan baharu dengan dia mempunyai pengalaman luas bermain dalam Liga Super selepas mengesahkan kehadirannya dengan Selangor FC dua tahun lalu.

Musim ini, ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe lebih gemar menurunkan Mukhairi Ajmal di posisi sayap kanan, sekali gus menyaksikannya kehilangan tempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram