KEKECEWAAN tumpas di tangan Selangor FC pada Ahad lalu dapat ditebus Sabah FC apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Penang dalam aksi Liga Super yang diadakan di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Dua jaringan dari pasukan pelawat dicetak oleh jeneral tengah, Irfan Fazail seawal minit kesembilan, manakala penyerang import Brazil, Ramon Machado pula meletakkan Sabah FC lebih selesa pada babak pertama perlawanan.
Sementara itu, Penang FC pula sekadar mendapat gol saguhati menerusi pemain skuad bawah 23 tahun Harimau Kumbang, Alif Ikmalrizal pada minit ke-76 dan skor kekal sama sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan.
Tiga mata penuh yang diperoleh di Bandaraya itu sedikit sebanyak membawa bekalan untuk skuad The Rhinos menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri pada 9 Ogos 2023.
Pertemuan menentang Harimau Selatan dijangka akan menjadi perlawanan sukar buat The Rhinos berikutan setakat ini juara Piala FA musim 2023 itu masih tidak pernah tewas di tangan mana-mana pasukan setakat ini.
Sabah FC menang 2-1 ke atas Penang FC. — Facebook/SabahFC
Malah, rekod pertemuan lalu juga tidak memihak kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas JDT mudah membelasah Sabah FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 31 Mac 2023.
Meskipun pusingan kedua ini, Sabah FC tampil dengan wajah baharu yang mana bahagian serangan mereka diperkuatkan dengan kemasukan Ramon sebagai penyerang utama namun ia bukan petanda bahawa The Rhinos akan mudah menembusi jentera pertahanan Harimau Selatan.
Oleh itu, tidak hairanlah jika majoriti penyokong kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu sudah membayangkan Sabah FC akan memberikan penamat pahit kepada ekor Sang Badak pada perlawanan ke-19 Liga Super itu.
The Rhinos ketika seri menentang TFC. — Facebook/SabahFC
"9 Ogos jumpa JDT, seri pun sudah memadai. Memang rancak ini perlawanan 9 Ogos nanti," kata penyokong Sabah, Aneifnaziffa Japar.
"Apa yang penyokong Sabah risau dan tidak tenang selagi belum ada keputusan JDT lawan Sabah FC nanti sebab perlawanan itu diadakan di laman sendiri.
"Harap Sabah tahu apa mereka persembahkan nanti ketika lawan JDT di laman sendiri. Sebab JDT mungkin boleh hancurkan rekod tanpa kalah di laman sendiri," tambah seorang lagi penyokong Sabah, Muzt Azelan.
"Ikutlah JDT yang tidak pernah henti menyerang selagi wisel belum ditiup," kata penyokong Sang Badak, Junsin Gujim.
Lebih membimbangkan apabila Harimau Selatan akan meleburkan rekod tanpa kalah The Rhinos di laman sendiri yang mana Sabah FC tidak pernah mencatat kekalahan sepanjang lapan aksi Liga Super diadakan di gelanggang keramat, Stadium Likas.
Rekod terburuk The Rhinos di Likas apabila hanya mencatat seri 2-2 menentang Terengganu FC (TFC) pada 19 Mei lalu dan selebihnya merekodkan kemenangan bergaya di hadapan ribuan penyokong Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram