Kekalahan paling mengecewakan, tapi Bobie anggap The Supporters satu suntikan positif


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Sokongan daripada ultras The Supporters terhadap skuad TBG sememangnya tidak pernah luntur. — Facebook/Perak FC

PERBELANJAAN besar yang dibuat Perak FC sejak jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka awal Julai lalu masih belum membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

Kehadiran Luka Milunovic, Kim Youn-do dan Azalinullah Alias yang dibawa untuk menguatkan pelbagai posisi dilihat terus bergelut setakat ini.

Bek tengah kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm yang tiba dengan harapan cukup baik sebelum ini bagaimanapun berdepan nasib berbeza apabila dia terus bergelut dengan masalah kecederaan.

Kehampaan itu dapat dirasakan apabila mereka tewas dalam aksi Liga Super baru-baru ini kepada Sri Pahang FC yang diadakan di tempat lawan.

Meskipun beraksi dengan cukup baik, kealpaan benteng pertahanan pada minit ke-55 permainan membuka peluang buat Kpah Sherman menjaringkan gol pemisah.

363981954_654547223373979_8336303705481325230_n

Jaringan Kpah menyaksikan skuad TBG terpaksa berputih mata untuk mengutip mata. Facebook/Perak FC

Kegagalan untuk membawa pulang sebarang mata itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terus kekal di tangga ke-11 Liga Super selepas mengharungi 18 perlawanan.

Perasaan kecewa pastinya menghantui penyokong Perak FC apabila mereka meletakkan harapan cukup tinggi selepas aktiviti menyambar pemain baharu diadakan dengan giat sejak pembukaan jendela perpindahan yang lalu.

Kehampaan berkenaan turut dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin yang menceritakan akan kekalahan itu menerusi satu hantaran di akaun Facebook TBG Super Fan.

"Kekalahan yang paling mengecewakan untuk saya secara peribadi. Walaupun rata-rata pujian diberikan terhadap gaya permainan, benteng pertahanan yang menjadi dan sayap kiri.

"Namun, satu gol mudah disebabkan antara apa yang saya lihat ialah untuk lebih tenang mengawal situasi. Di sini, pengalaman serta dedikasi yang tinggi akan mengurangkan kesilapan mudah," katanya.

2177485

Bobie dilihat cukup bersemangat setiap kali berbicara mengenai skuad TBG. Facebook/Perak FC

Sebelum ini, Bobie sering menceritakan mengenai hala tuju kelab sejak menjadi CEO Interim Perak FC pada pertengahan tahun lalu.

Meskipun terdapat sedikit percanggahan dengan penyokong, semangatnya untuk membawa semula tahun-tahun kegemilangan skuad TBG sukar untuk dinafikan.

Dalam pada itu, Bobie juga sempat memberikan pujian kepada ribuan pengikut setia pasukan ke Stadium Darul Makmur, Pahang yang tidak henti-henti mencurahkan sokongan.

"Lagi satu yang positif ialah The Supporters. Antara kehadiran ultras teramai bagi saya untuk musim ini dan Stadium Darul Makmur bagaikan di Ipoh hanya dengan semangat mereka menyokong pasukan," katanya.

Perak FC bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk aksi Piala Malaysia di tempat sendiri pada Khamis sebelum kembali bersaing dalam Liga Super menentang Penang FC di venue yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram