'Mereka bermain seperti satu keluarga', kata azimat Aidil Sharin ketika julang Piala FA bersama Kedah


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Aidil membawa Kedah menjulang Piala FA pada musim pertamanya. — Facebook/KDAFC

KEBELAKANGAN ini nama bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak kembali menjadi sebutan apabila difahamkan akan menggantikan posisi Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih Kuching City.

Adalah tidak menghairankan jika pihak pengurusan The Cats ingin menggunakan khidmat pengendali dari Singapura itu kerana Aidil Sharin sememangnya salah seorang ketua jurulatih yang mampu mengubah nasib sesebuah pasukan.

Sebagai contoh ketika mengendali Sang Kenari pada musim 2019, bekas ketua jurulatih Persikabo 1973 itu menjulang Piala FA pada musim pertamanya walaupun skuad Kedah kehilangan separuh daripada pemain pasukan utama mereka.

Mengimbau kembali perkongsian Aidil Sharin selepas kejayaan bersejarahnya bersama skuad Hijau Kuning, bekas jurulatih Home United itu pernah menyatakan bahawa beliau memerlukan masa untuk membina semula pasukan itu dan menyasarkan kejuaraan pada tahun berikutnya.

Berdasarkan laporan berita dari The Star pada 31 Julai 2019, pengendali berusia 46 tahun itu tidak menyangka skuad Helang Merah berhasil menjulang trofi Piala FA kelima dengan menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil.

"Sejujurnya, saya tidak pernah menjangkakan ini kerana di mana-mana sahaja di dunia, apabila anda mengambil alih pasukan, anda memerlukan masa untuk membetulkan keadaan.

“Bukan mudah untuk mendapatkan piala pada tahun pertama terutamanya apabila anda berada dalam persekitaran baharu.

"Anda juga mesti ambil perhatian bahawa hanya separuh daripada pasukan dari skuad musim lalu (2018) dikekalkan,” katanya pada laporan tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-31 at 11.14.00

Kedah juga memenangi Piala Unity Shield selepas menewaskan Perak 2-0 pada 2019. — Facebook/KDAFC

Kedah membawa masuk ramai pemain baharu dan disebabkan itu banyak perkara terpaksa dilakukan oleh Aidil Sharin untuk memulihkan reputasi kelab elit Utara tanah air itu.

“Sebagai jurulatih, saya sentiasa percaya bahawa pasukan yang mempunyai 11 pemain akan membawa kelab ke hadapan. Saya tidak boleh bergantung pada satu individu untuk membuat sesuatu berlaku,” tambahnya.

Aidil Sharin bersikap sederhana apabila berkata, kemenangan itu adalah kerana sikap pemain yang tidak pernah berputus ada.

Kredit harus diberikan kepada Aidil Sharin, kerana pertukarannya pada separuh masa kedua ketika perlawanan berkenaan membuahkan hasil yang lumayan.

Pemain sayap, Azamuddin Akil dan Fayadh Zulkifli Amin sentiasa menjadi ancaman dengan larian mereka manakala Fadzrul Danel Nizam menjaringkan gol kemenangan dengan sentuhan bola pertamanya.

“Pemain saya memberikan yang terbaik. Walaupun tanpa Renan (Alves), yang digantung, kami masih memenangi trofi kerana pemain bermain sebagai satu keluarga, sebagai satu pasukan.

“Sebelum perlawanan, saya berasa yakin kerana pemain saya bersatu. Mereka berdoa dan makan bersama dan semasa latihan, anda dapat merasakan sesuatu yang baik akan berlaku,” ujarnya.

Selepas empat musim bersama Kedah, KDA FC mengumumkan penamatan khidmat Aidil Sharin sebagai ketua jurulatih pasukan itu susulan kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super 2022.

Antara sumbang Aidil Sharin sepanjang empat tahun membimbing Kedah ialah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021, layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022.

Beliau juga membawa Kedah ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram