WALAUPUN Sri Pahang FC berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perak FC pada saingan Liga Super di halaman sendiri pada Ahad, ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad menganggap persembahan skuad itu masih kurang menyerlah.
Fandi berkata, tonggak hadapan masih perlu diperbaiki kerana dalam perlawanan itu banyak peluang menjaringkan gol di hadapan gawang lawan, namun disia-siakan begitu sahaja.
"Selepas mendahului, bahagian tengah tidak membawa bola ke hadapan sebaliknya mereka turun ke bawah... sepatutnya semasa mendapat bola, kita terus melakukan tekanan ke atas (lawan).
"Pada minit-minit terakhir, apabila terlalu ingin menguasai permainan, kita lebih banyak bermain di belakang yang sebenarnya membahayakan pintu gol Sri Pahang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang tamat.
Pada perlawanan itu penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira pasukan apabila menewaskan penjaga gol Perak, T Shaheeswaran pada minit ke-55.
Mengakui kelemahan pasukannya, Fandi berkata, corak permainan sedemikian perlu dielakkan pada aksi akan datang terutama semasa mereka hanya mendahului dengan satu jaringan.
Sherman menjadi wira buat Sri Pahang dalam aksi menentang The Bos Gaurus. — Facebook/SriPahang
"Secara keseluruhan, permainan separuh masa pertama menyaksikan kita banyak melakukan hantaran panjang manakala babak kedua kita lebih menguasai perlawanan dengan kawalan bola lebih banyak di kaki.
"Apa pun saya akui sememangnya susah untuk berhadapan pasukan yang menggunakan formasi 5-4-1 atau 3-4-3 kerana terdapat halangan besar di situ yang memerlukan pemain lebih pintar untuk menembusi pertahanan lawan," katanya.
Sementara itu, pengendali Perak FC, V. Saravanan menyifatkan anak buahnya kurang bernasib baik walaupun sudah mempamerkan disiplin, usaha dan semangat dengan baik di atas padang.
"Selain nasib, kita perlu ada kualiti untuk melakukan penyudah yang 'membunuh' seperti Sri Pahang yang mana mereka mendapat peluang dan berjaya menghasilkan gol.
"Ini proses bagi Perak FC dan saya yakin jika mereka boleh kekalkan permainan baik seperti hari ini (Ahad) kita dapat mencatat kemenangan dan memperbaiki kedudukan dalam Liga Super," katanya.
Sri Pahang kini menghuni tangga keempat liga dengan 37 mata manakala Perak FC di tempat ke-11 dengan 13 mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram